Home / Gaya hidup / Program Hari Malaysia manfaat cuti kanak-kanak, erat perpaduan komuniti

Program Hari Malaysia manfaat cuti kanak-kanak, erat perpaduan komuniti

oleh Editorial KampusKini

KOTA BHARU– Cuti Hari Malaysia dimanfaatkan lebih  ramai kanak-kanak dan remaja sekitar Kota Bharu dengan menyertai pelbagai aktiviti berfaedah menerusi Program Hari Malaysia Peringkat Komuniti Tali Air, Kampung Gertak Kechupu Teras, Kubang Kerian, di sini baru-baru ini.

Program yang berlangsung di Dataran Tali Air Wakaf Ustaz Zul bermula 8.30 pagi itu menghimpunkan masyarakat setempat daripada pelbagai peringkat usia termasuk kanak-kanak, murid sekolah, remaja, golongan dewasa dan warga emas dalam suasana sambutan Hari Malaysia yang meriah.

Penganjuran kali ke-10 itu turut disertai murid dari Sekolah Kebangsaan Mentuan, Sekolah Kebangsaan Raja Bahar dan Sekolah Menengah Kebangsaan Raja Sakti, sekali gus menjadi platform untuk menyemai semangat perpaduan dan patriotisme dalam kalangan generasi muda.

Pengerusi program Ustaz Zulkifli Hassan yang juga Penolong Kanan Pentadbiran Sekolah Kebangsaan Mentera berkata sambutan Hari Malaysia sebelum ini diadakan pada 31 Ogos, namun tahun ini dianjakkan ke 16 September berikutan kekangan masa.

“Program seperti ini memberi peluang kepada masyarakat, khususnya kanak-kanak dan remaja, mengisi cuti dengan aktiviti yang berfaedah di samping memahami makna kemerdekaan, perpaduan dan Hari Malaysia,” katanya.

Antara pengisian program ialah pertandingan pakaian tradisional mengikut kaum, pulut berhias, gubahan kain tuala serta sukaneka yang melibatkan kanak-kanak dan orang dewasa.

Program turut diserikan persembahan cilik Ahmad Fahim Wafiyyuddin, 11, murid Sekolah Kebangsaan Mentera yang menyampaikan lagu Warisan nyanyian Allahyarham Sudirman Haji Arshad dengan mengenakan tanjak, sebelum meneruskan persembahan menerusi lagu Korban Rindu nyanyian Putera Bobo.

Selain menggalakkan penyertaan generasi muda, program berkenaan turut menjadi wadah mengeratkan hubungan silaturahim penduduk setempat melalui penglibatan masyarakat daripada pelbagai latar belakang dan peringkat usia.

Dalam pada itu, seorang warga emas turut dipilih sebagai Tokoh Kemerdekaan Hari Malaysia sebagai penghargaan terhadap jasa dan sumbangan generasi terdahulu dalam membina masyarakat serta negara.

Sambutan yang berlangsung dengan latar tali air dan hamparan sawah padi menghijau itu mencerminkan penglibatan bersama komuniti dalam menghayati semangat Hari Malaysia melalui aktiviti kemasyarakatan, kebudayaan dan riadah.

Editor Kampuskini.my avatar

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Trending

🕌
Waktu Solat
Malaysia

Wilayah Persekutuan — Kuala Lumpur & Putrajaya


Imsak

05:39


Subuh

05:49


Syuruk

06:56


Zohor

13:00


Asar

16:19


Maghrib

19:00


Isyak

20:10

Sumber: e-Solat JAKIM