oleh Mohd Rizal Azman Rifin
Politeknik sebagai suatu jenama alam pendidikan yang tidak asing lagi dalam pengajian tinggi yang menjuruskan tema disiplin terasnya kepada melahirkan modal insan yang unggul dalam bidang teknikal, pengurusan dan juga perdagangan.
Jika dahulu apabila sebut sahaja nama politeknik, maka persepsi negatif akan mewarnai paradigma fikir masyarakat. Namun, ia berbeza sama sekali buat masa kini kerana semua pihak seolah-olah terpegun dan ‘tabik hormat’ dengan keupayaan IPT ini dalam melahirkan tenaga pakar dalam aneka jurusan teknikal buat keperluan negara.
Nyata bahawa transformasi politeknik telah mengubah wajah dan watak mahasiswanya dengan suatu paparan sikap dan reputasi yang cukup membanggakan, malah tidak keterlaluan dikatakan di sini bahawa mahasiswa di politeknik adalah insan terpelajar yang serba boleh dengan tampilan semangat untuk menggarap dan menerokai pelbagai disiplin. Yang terkini dan seharusnya membuka mata banyak pihak adalah keupayaan tersahih atas kejayaan gemilang mahasiswanya dalam mendaya-upaya hasilan inovasi bertaraf perdana.
Bukan itu sahaja, para tenaga akademik politeknik juga mula menunjukkan taringnya sebagai penginovasi unggul dan hal itu bukan lagi cerita mitos penyedap emosi untuk mengangkat imej politeknik. Akan tetapi mereka (tenaga akademik politeknik) sudah membuktikan sendiri kehebatan mereka dalam banyak pertandingaan yang berasaskan daya rekacipta dan inovasi, baik peringkat negara mahupun di pentas global.
Sesungguhnya kejayaan demi kejayaan yang ditempa oleh politeknik khasnya dalam penghasilan produk berdaya inovasi membuktikan mahasiswanya bukan lagi bertaraf kelas kedua, sebaliknya kini politeknik sudah mampu berdiri sama tinggi, malah lebih gah daripada sesetengah IPT yang lain.
Seperkara yang menarik untuk kita bersama teliti menerusi penghasilan produk rekacipta dan inovasi politeknik ialah hasilan mereka merupakan produk yang bermanfaat untuk masyarakat awam dan apabila diperluaskan penggunaannya dalam kalangan masyarakat kita yakin dan percaya jenama produk rekacipta dan inovasi politeknik mampu tampil sebagai produk berkualiti kelas perdana.
Kita sudah pasti ingin melihat akan munculnya banyak rekacipta dan inovasi tempatan yang dicetuskan oleh golongan intektualan anak tempatan sendiri, akan tetapi kita juga inginkan segala hasilan produk inovasi tersebut dapat diaplikasi dan dimanfaatkan oleh anggota masyarakat. Selama ini kita cukup kagum dengan hadirnya aneka rekacipta hebat dari negara luar, maka kini sudah sampai masanya anak-anak muda kita yang berdaya intelektual unggul berusaha menggilap akal dan usaha semaksimum mungkin demi menghasilkan produk yang bertaraf dunia.
Kekuatan sesebuah negara dalam era globalisasi masakini banyak dinilai menerusi penzahiran hasilcipta dan inovasi berasaskan sains dan teknologi. Tambahan pula kita semakin hampir untuk merealisasikan hasrat mega kita sebagai sebuah negara maju. Justeru, bidang rekacipta, reka bentuk dan inovasi berkualiti kelas dunia sewajarnya terus digilap dan diterokai.
Dalam menjayakan impian tersebut, maka politeknik wajar juga diketengahkan sebagai wadah yang terbaik dalam membuka ruang dan peluang untuk menampilkan seberapa banyak penghasilan inovasi melalui kerja-kerja penyelidikan yang hebat. Di politeknik masa kini bidang inovasi tidak lagi menjadi elemen sampingan atau sekadar bahan tempelan menghias kurikulum pengajaran dan pembelajaran, tetapi ia sudahpun menjadi satu budaya kukuh yang telah menyerap ke segenap jiwa warganya.
Formasi yang jitu dan kombinasi yang padu antara tenaga akademik dan warga pelajar politeknik boleh memercikkan suatu fenomena baru yang akan memartabatkan bidang inovasi yang bermanfaat buat masyarakat dan negara. Hal tersebut tidak mustahil kerana melihat kepada senario semasa yang memperlihatkan politeknik kini menunjangkan aspek inovasi sebagai tonggak kepada kegiatan utama pembelajaran.
Dalam pada itu, seharusnyalah juga kita insafi bahawa banyak manapun hasil penyelidikan dan inovasi yang dijana, tetapi sekiranya ia sekadar ‘penghias’ rak koleksi IPT yang tidak mampu dimanfaatkan oleh masyarakat awam dan negara, maka ia tidak mengundang sebarang makna. Kita mahu segala usaha getir dan penuh komited para penyelidik di IPT termasuklah juga di politeknik bersama para pelajarnya dapat dimanfaatkan oleh masyarakat. Jangan hanya berbangga kerana banyaknya menggondol anugerah dalam pertandingan inovasi sampai di peringkat antarabangsa, namun ia menjadi ‘sepi’ selepas itu tanpa sebarang tindakan susulan untuk dipanjangkan kegunaannya untuk masyarakat.
Justeru, kolaborasi dan jalinan erat antara Politeknik Malaysia dengan pemain industri seharusnya terus dipergandakan secara aktif. Dalam pada itu, Politeknik Malysia menerusi bahagian pembangunan kurikulum juga sewajarnya bersikap pandang ke hadapan dengan mencuba ‘menghidu’ seberapa banyak ruang dan peluang bagi menghidupkan budaya reka bentuk dan inovasi bertaraf perdana yang memungkinkannya menepati cita-rasa kehendak industri semasa dan masa hadapan.
Hal itu penting penting kerana bidang reka cipta dan daya inovasi industri sentiasa berkembang tanpa menuju sesiapa.Oleh itu, politeknik juga mesti berwatak sama, iaitu ‘berlari’ untuk mencipta sesuatu yang baharu demi menjadikan inovasi politeknik juga berdiri megah di hati pemain industri dan masyarakat pengguna amnya.
Kita sangat berkeyakinan bahawa tiada satupun yang mustahil seandainya pihak-pihak berkepentingan mampu bergerak seiriing sederap melangkah aktif dalam mengusahakan sesuatu program demi menjadikan inovasi pelajar politeknik muncul antara hasil inovasi bertaraf perdana.
Kita juga percaya, jaringan kerjasama dan jalinan kerja sama-sama antara tenaga akdemik dan warga pelajar polteknik, hasil ciptaan berdaya inovasi mampu melonjakkan nama dan imej Politeknik Malaysia sebagai antara institusi pengajian tinggi yang gemilang. Warga politeknik, baik tenaga akademik mahupun pelajarnya tidak seharusnya berada dalam zon selesa tanpa berasa untuk terus melangkah maju dalam mengetengahkan watak berjati diri berteraskan inovasi tinggi.
Sesungguhnya, politeknik Malaysia memiliki segala akses yang diperlukan dalam membangun reka cipta berinovasi hebat kerana sejak dahulu hingga ke masa kini, warga politeknik tetap kekal dengan semangat dan sikap untuk memajukan diri dalam apa sahaja bidang pengajian. Ini dapat kita kesan khususnya di Jabatan kejuruteraan, seluruh penggerak akademik dan warga pelajarnya sentiasa cergas mencerdaskan minda demi mencungkil idea jitu untuk menghasil inovasi bermutu.
Oleh itu, Politeknik Malaysia perlulah ‘berlari’ lebih laju daripada IPT yang lain.
Penulis merupakan Pensyarah Utama di Jabatan Kejuruteraan Mekanikal, Politeknik Muadzam Shah


Leave a Reply