Home / Gaya hidup / Perkhemahan RELASIS PMS perkasa jati diri, ketahanan mahasiswa

Perkhemahan RELASIS PMS perkasa jati diri, ketahanan mahasiswa

Mengemas seusai aktiviti perkhemahan

oleh Mohd Rizal Azman Rifin

MUADZAM SHAH – Seramai 115 pelajar Pasukan RELASIS Politeknik Muadzam Shah (PMS) menyertai perkhemahan selama dua hari satu malam di Campstay Sungai Lembing, Kuantan, baru-baru ini bagi memperkukuh jati diri serta ketahanan mental, fizikal dan emosi.

Program tahunan itu turut disertai tiga pensyarah pengiring iaitu Timbalan Komanden RELASIS PMS Ustaz Mohd Taha Rulam Ahmad, Ustaz Mohammad Hafeez Md Ramli dan Ts Nafisah Mat Nasir.

Timbalan Komanden RELASIS PMS Mohd Taha Rulam Ahmad berkata pengisian program dirangka bagi melatih mahasiswa menghadapi cabaran melalui aktiviti yang menguji kemampuan fizikal, mental dan emosi, selain membentuk semangat kerjasama serta toleransi.

“Kita tidak mahu para mahasiswa menjadi lembik dan kurang daya tahan dalam menghadapi cabaran. Sebab itu sepanjang program ini mereka melalui aktiviti yang benar-benar menguji fizikal, mental dan emosi.

“Apa yang menggembirakan ialah semangat kebersamaan dan rasa tanggungjawab turut berjaya diwujudkan apabila semua peserta perlu berinteraksi dan bekerjasama dalam pasukan,” katanya.

Antara aktiviti yang dijalankan ialah water confident, barbeku, malam kebudayaan, aktiviti “burung hantu” dan jungle trekking yang memberi pengalaman pembelajaran secara langsung kepada peserta.

Program itu turut menggabungkan elemen tanggungjawab sosial korporat (CSR) apabila anggota RELA Negeri Pahang bersama peserta melaksanakan kerja pembersihan sampah di sekitar Sungai Lembing dan kawasan tapak perkhemahan.

Mohd Taha berkata aktiviti khidmat bakti itu turut memberi peluang kepada mahasiswa memahami kepentingan menyumbang kepada komuniti serta menjaga kebersihan alam sekitar.

Sementara itu, pensyarah pengiring Mohammad Hafeez Md Ramli berkata penglibatan mahasiswa dalam aktiviti lasak bukan sahaja membina ketahanan diri, malah menyemai nilai simpati dan empati terhadap masyarakat setempat.

“Semangat ingin berbakti kepada masyarakat adalah tunjang visi kami dalam menjayakan program CSR,” katanya.

Program yang turut melibatkan pegawai dan staf RELA Negeri Pahang itu diketuai Muhammad Izzuddin Muhammadun Basar bagi mengendalikan slot pengisian sepanjang perkhemahan.

Secara keseluruhannya, perkhemahan berkenaan berjaya mencapai matlamat dalam membentuk keyakinan diri, disiplin, semangat berpasukan dan kesedaran terhadap tanggungjawab sosial serta penjagaan alam sekitar dalam kalangan peserta.

Editor Kampuskini.my avatar

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *