oleh Editorial KampusKini
KUALA LUMPUR — Pendidikan bukan sekadar soal mendapatkan sijil atau kelayakan akademik, sebaliknya menjadi asas penting dalam membantu generasi muda menentukan hala tuju dan membina masa depan.
Atas kepentingan itu, Persatuan Pembangunan Pendidikan Bumiputera Malaysia (MYBEDA) terus memberi tumpuan kepada usaha membantu pelajar memahami pilihan pendidikan, mengenal pasti bidang yang sesuai dengan minat serta melihat peluang kerjaya yang boleh diterokai.
Presidennya, Prof Adjung Syed Aliwi Alqudri, berkata pelajar perlu diberikan pendedahan yang lebih jelas supaya keputusan berkaitan pendidikan dibuat berdasarkan minat, kebolehan dan perancangan masa depan.
Menurut Syed Aliwi, masih terdapat pelajar yang belum mempunyai gambaran jelas mengenai bidang pengajian atau kerjaya yang ingin diceburi.
“Mereka memerlukan panduan dan pendedahan yang bersesuaian supaya dapat membuat pilihan dengan lebih yakin.
“Pada masa sama, kita juga perlu melihat faktor kewangan kerana masih terdapat pelajar berpotensi yang memerlukan sokongan untuk meneruskan pengajian,” katanya.
Sehubungan itu, MYBEDA turut mengalu-alukan kerjasama daripada institusi pendidikan, universiti, kolej, institusi TVET serta pelbagai pihak berkaitan untuk bersama-sama membuka lebih banyak peluang pendidikan kepada pelajar.
Syed Aliwi berkata peluang tersebut tidak seharusnya terhad kepada laluan akademik sahaja, sebaliknya pelajar perlu diberi pilihan mengikut minat, kebolehan dan potensi masing-masing termasuk dalam bidang kemahiran dan TVET.
Dalam usaha membuka lebih banyak ruang kepada pelajar, MYBEDA turut memberi perhatian kepada Biasiswa Anak Desa yang dirancang untuk diperluas kepada pelajar dari seluruh negara, termasuk Sabah dan Sarawak.
Inisiatif itu antara usaha membantu pelajar berpotensi yang berdepan kekangan kewangan untuk meneruskan pengajian.
“Peluang pendidikan perlu dibuka seluas mungkin kepada pelajar yang mempunyai potensi. Kita tidak mahu kekangan kewangan menjadi sebab seseorang pelajar terpaksa mengetepikan impian untuk melanjutkan pengajian,” katanya.
Menurut beliau, kerjasama dengan lebih banyak institusi pendidikan juga dapat membantu pelajar mendapatkan maklumat yang lebih jelas mengenai program pengajian, syarat kemasukan dan peluang kerjaya sebelum membuat pilihan.
Menerusi aspirasi “MYBEDA memperkasa pendidikan masa hadapan”, persatuan itu mahu membantu lebih ramai pelajar mendapatkan pendedahan dan bimbingan yang diperlukan bagi membuat keputusan pendidikan dengan lebih yakin.
Usaha tersebut diharap dapat membuka lebih banyak laluan pendidikan kepada generasi muda, sama ada melalui pengajian akademik, TVET mahupun laluan kemahiran yang bersesuaian dengan potensi dan keperluan masa depan mereka.
Untuk maklumat lanjut mengenai inisiatif dan peluang pendidikan MYBEDA, hubungi E-mel mybeda.officials@gmail.com


Leave a Reply