oleh Editorial KampusKini
GEORGE TOWN – Kesepaduan 35 staf Kampus Kejuruteraan Tuanku Syed Sirajuddin (KKTSS) membuahkan hasil apabila kontinjen itu dinobatkan sebagai juara Program Jalan Laju (Brisk Walk) 1,000 Jalur Gemilang Universiti Sains Malaysia (USM) 2026 hari ini.
KKTSS mengatasi 31 kontinjen lain dalam pertandingan yang menjadi antara pengisian Sambutan Hari Malaysia peringkat USM, dengan penyertaan melibatkan warga Kampus Induk, KKTSS dan Pusat Kanser Tun Abdullah Ahmad Badawi (PKTAAB).
Ketua kontinjen KKTSS Ismail Jamaluddin berkata pencapaian itu mencerminkan kesungguhan anggota pasukan yang saling bekerjasama sejak persiapan sehingga pertandingan berakhir.
“Sebagai Ketua Kontinjen, saya amat terharu melihat kesungguhan dan semangat kebersamaan semua staf yang sanggup meluangkan masa, berlatih dan memberikan yang terbaik demi pasukan.
“Kita menang bukan kerana seorang, tetapi kerana kita bergerak sebagai satu pasukan,” katanya.
Kontinjen berkenaan terdiri daripada sembilan staf Jabatan Pendaftar, 16 staf Jabatan Bendahari dan 10 staf Jabatan Pembangunan dan Pengurusan Fasiliti (JPPF).
Pertandingan anjuran Jabatan Pendaftar itu menampilkan laluan sejauh tiga kilometer mengelilingi kampus, dengan penekanan terhadap keseragaman pergerakan serta kerjasama dalam kalangan anggota setiap kontinjen.
Pusat Transformasi Digital Kampus Induk meraih tempat kedua, manakala Bahagian Pengurusan Akademik Kampus Induk menduduki tempat ketiga.
Selain menggalakkan aktiviti fizikal dalam suasana santai, program berkenaan turut menjadi wadah menyemarakkan semangat patriotisme dan memperkukuh hubungan sesama warga USM sempena Sambutan Hari Malaysia.
Photo credit dan sumber: Universiti Sains Malaysia (USM)


Leave a Reply