oleh Editorial KampusKini
KOTA BHARU– Kejohanan Olahraga Tahunan Kali Ke-45 Sekolah Kebangsaan (SK) Mentera menjadi platform penting untuk mencungkil dan mengenal pasti bakat sukan dalam kalangan murid selain membentuk disiplin, daya tahan serta semangat kerjasama.
Guru Besar SK Mentera Ruzaini Ab Sattar berkata murid yang dikenal pasti mempunyai potensi dalam bidang sukan akan diberikan bimbingan dan latihan secara berterusan sebagai persediaan mewakili sekolah ke Kejohanan Balapan dan Padang peringkat daerah pada tahun hadapan.
“Penganjuran kejohanan olahraga bukan sekadar medan persaingan untuk merebut kemenangan, malah menjadi platform penting bagi mencungkil serta mengenal pasti bakat-bakat sukan dalam kalangan murid,” katanya pada kejohanan yang berlangsung di padang SK Mentera, di sini.
Beliau berkata program berkenaan diharap dapat melahirkan lebih ramai atlet muda yang berdaya saing dan seterusnya mengharumkan nama sekolah pada masa hadapan.
Sementara itu, Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) SK Mentera Ismail Daud berkata penglibatan murid dalam aktiviti sukan dapat membentuk disiplin, daya tahan serta menggalakkan amalan gaya hidup sihat dan aktif.
Beliau berkata aktiviti sukan turut memupuk nilai kepimpinan, semangat berpasukan, sikap saling menghormati dan keyakinan diri yang penting dalam membentuk generasi seimbang dari aspek jasmani, emosi, rohani dan intelek.
Dalam pada itu, Penolong Kanan Kokurikulum SK Mentera Zalifah Yusoff berkata kejohanan berkenaan merupakan sebahagian daripada usaha sekolah membentuk kemenjadian murid menerusi pelaksanaan aktiviti kokurikulum yang berkualiti.
Beliau berkata penyertaan dalam sukan mendidik murid menghargai masa, mematuhi peraturan dan mengekalkan pemikiran positif ketika berdepan cabaran, selaras dengan Aspirasi Murid yang digariskan Kementerian Pendidikan Malaysia.
Kejohanan yang disertai murid, guru, ibu bapa dan komuniti setempat itu turut menampilkan pelbagai acara balapan mengikut kategori umur selain aktiviti sukaneka untuk murid prasekolah serta ibu bapa dan pegawai sekolah.
Penganjuran kejohanan itu turut memperkukuh hubungan antara pihak sekolah, ibu bapa dan komuniti setempat menerusi penglibatan bersama dalam aktiviti sukan dan kokurikulum.
Kejohanan diakhiri dengan penyampaian hadiah kepada para pemenang sebagai penghargaan atas pencapaian dan usaha mereka sepanjang pertandingan.


Leave a Reply