Home / Kampus / Family Day FPHP 2026 perkukuh hubungan pelajar, pensyarah

Family Day FPHP 2026 perkukuh hubungan pelajar, pensyarah

oleh Niera Farida

SETIU – Fakulti Pengurusan Hospitaliti dan Pelancongan (FPHP), University College Bestari menganjurkan Family Day FPHP 2026 sebagai platform memperkukuh hubungan silaturahim antara pelajar dan pensyarah serta membina semangat kekeluargaan dalam komuniti fakulti.

Program yang berlangsung selama dua hari pada 3 dan 4 Sept di Agro Resort Setiu itu melibatkan pelajar Diploma Seni Kulinari dan Diploma Pengurusan Hotel bersama pensyarah FPHP.

Penganjur berkata program berkenaan bukan sekadar aktiviti rekreasi, malah menjadi ruang kepada pelajar dan pensyarah berinteraksi dalam suasana lebih santai di luar bilik kuliah.

“Penglibatan bersama dalam aktiviti santai dan mencabar memberi peluang kepada warga FPHP untuk mengenali antara satu sama lain dengan lebih dekat, sekali gus mewujudkan suasana yang lebih terbuka, mesra dan harmoni,” menurut FPHP dalam kenyataan.

Sepanjang program, peserta menyertai pelbagai aktiviti termasuk Telematch, Water Confident, Night Tracking, Explorace dan Flying Fox yang menguji ketahanan fizikal dan mental serta menggalakkan kerja berpasukan.

Aktiviti berkenaan turut memberi peluang kepada peserta meningkatkan kemahiran komunikasi, keyakinan diri dan kepimpinan, selain memupuk sikap saling membantu dalam kalangan warga fakulti.

Menurut penganjur, program itu turut memberi ruang kepada pelajar berehat dan mengurangkan tekanan selepas mengikuti rutin pembelajaran, di samping membina kemahiran interpersonal yang boleh dimanfaatkan dalam kehidupan akademik dan persekitaran kampus.

Family Day FPHP 2026 diharap dapat memperkukuh semangat kerjasama, keberanian, kepimpinan dan saling menyokong dalam kalangan warga fakulti, sekali gus membentuk komuniti akademik yang lebih erat dan harmoni.

Editor Kampuskini.my avatar

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *