Home / Akademik / UniSZA, Huffaz AI bangunkan teknologi al-Quran berasaskan AI

UniSZA, Huffaz AI bangunkan teknologi al-Quran berasaskan AI

KUALA NERUS Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) memperkukuh agenda inovasi digital menerusi kerjasama strategik dengan syarikat teknologi tempatan, Huffaz AI Sdn. Bhd. bagi membangunkan teknologi al-Quran berasaskan kecerdasan buatan (AI), khususnya aplikasi pintar untuk pengajian tahfiz.

Kerjasama itu dimeterai menerusi Memorandum Persefahaman (MoU) antara UniSZA melalui Institut Penyelidikan Produk dan Ketamadunan Melayu Islam (INSPIRE) dengan Huffaz AI Sdn. Bhd. dalam satu majlis di UniSZA Kampus Gong Badak, di sini, hari ini.

MoU berkenaan ditandatangani Naib Canselor UniSZA, Prof. Datuk Dr. Fadzli Adam dan Pengarah Huffaz AI Sdn. Bhd., Zulhisham Ayob.

Hadir sama Pendaftar UniSZA, Muzafar Mohd Din; Pengarah Huffaz AI Sdn. Bhd., Mohd Aliff Ahmad Shariffuddin dan Nik Muhammad Izwan Nik Mohd Kamel; Pengarah INSPIRE UniSZA, Prof. Dr. Wan Mohd Khairul Firdaus Wan Khairuldin serta Peguam Syarikat Huffaz AI Sdn. Bhd., Abdul Hadi Ahmad.

Menerusi kerjasama itu, kedua-dua pihak memberi tumpuan kepada penyelidikan teknologi al-Quran melalui pembangunan aplikasi pintar pengajian tahfiz, selain meneroka usaha pengkomersialan inovasi berkenaan ke pasaran.

Kerjasama strategik itu turut membuka ruang kepada integrasi kepakaran akademik dan industri dalam mempercepatkan pembangunan inovasi digital serta melahirkan bakat teknikal yang mempunyai kemahiran relevan dengan keperluan teknologi semasa.

Usaha berkenaan selari dengan Pelan Strategik UniSZA (PSU) 2023-2030, khususnya Strategi Teras 2 berkaitan penyelidikan berimpak tinggi dan Strategi Teras 4 yang memberi penekanan terhadap pendigitalan serta kelestarian universiti.

Melalui pemeteraian MoU itu, UniSZA dan Huffaz AI turut komited membangunkan ekosistem digital berasaskan al-Quran dan AI, sekali gus memperluas aplikasi teknologi dalam bidang pendidikan Islam.

Kerjasama tersebut dijangka turut menyumbang kepada pembangunan modal insan berdaya saing tinggi melalui pendedahan kepada teknologi AI dan penyelidikan berorientasikan industri.

Photo credit dan sumber: Facebook rasmi Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA)

Editor Kampuskini.my avatar

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *