Home / Penyelidikan / UPM, KSSB perkukuh penyelidikan, teknologi akuakultur negara

UPM, KSSB perkukuh penyelidikan, teknologi akuakultur negara

SERDANG Universiti Putra Malaysia (UPM) dan Kembang Subur Sdn. Bhd. (KSSB) memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) bagi memperkukuh penyelidikan, pembangunan teknologi dan pemindahan ilmu untuk meningkatkan produktiviti serta kemampanan industri akuakultur negara.

Timbalan Naib Canselor (Jaringan Industri dan Masyarakat) UPM, Prof. Dr. Shamsul Bahri Md Tamrin berkata kerjasama strategik itu memberi ruang menggabungkan kepakaran penyelidik universiti dengan pengalaman serta keperluan sebenar industri, khususnya dalam bidang kesihatan udang, inovasi akuakultur dan pembangunan sistem pengeluaran mampan.

“Melalui Fakulti Pertanian khususnya Jabatan Akuakultur, kepakaran penyelidik UPM dapat digabungkan dengan pengalaman dan keperluan sebenar industri, khususnya dalam bidang kesihatan udang, inovasi akuakultur serta pembangunan sistem pengeluaran yang lebih mampan.

“Kerjasama ini bukan sahaja membuka ruang kepada penghasilan teknologi dan penyelesaian baharu untuk industri, malah berpotensi memperkukuh hubungan universiti-industri melalui penyelidikan gunaan, latihan pelajar dan pembangunan bakat,” katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis pertukaran MoU antara UPM dan KSSB sempena Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agropelancongan Malaysia (MAHA) 2026, baru-baru ini.

Kerjasama berkenaan turut meliputi penempatan latihan industri pelajar, penyelidikan bersama serta penyediaan khidmat kepakaran kepada pihak industri.

Sementara itu, Dekan Fakulti Pertanian UPM, Prof. Dr. Loh Teck Chwen berkata MoU itu berpotensi memperluas peranan fakulti sebagai pusat rujukan kepada KSSB dalam menangani isu dan cabaran berkaitan akuakultur.

“Pada masa yang sama kami berharap kerjasama ini dapat berkembang daripada penempatan latihan industri kepada penyelidikan bersama serta pembiayaan penyelidikan oleh pihak industri yang dapat dimanfaatkan oleh penyelidik dan pelajar UPM,” katanya.

Sementara itu, Ketua Jabatan Akuakultur UPM, Prof. Dr. Natrah Fatin Mohd Ikhsan berkata kerjasama itu akan memberi tumpuan antaranya kepada pembangunan dan pemilihan genetik udang bagi menghasilkan benih berkualiti serta teknologi probiotik dan alga bagi menyokong pemakanan, kesihatan ternakan dan pengurusan kualiti air.

Beliau berkata kepakaran penyelidik Jabatan Akuakultur, Prof. Madya Dr. Yuzine Esa dan Dr. Dania Aziz dalam bidang genetik akuakultur boleh dimanfaatkan bagi menyokong pembangunan benih udang berkualiti serta program pembiakan yang lebih sistematik.

“Selain itu, pensyarah kami turut memberi latihan dan perkongsian ilmu kepada staf KSSB berkaitan pembangunan serta pengurusan genetik udang,” katanya.

Menurutnya, teknologi probiotik dan alga pula berpotensi meningkatkan kesihatan serta kualiti ternakan udang menerusi pendekatan pemakanan dan pengurusan ternakan sejak peringkat awal.

“Alga berperanan sebagai sumber nutrien awal yang penting kepada udang, manakala penggunaan probiotik dapat membantu menyokong keseimbangan mikrobiota, kesihatan ternakan serta kestabilan air.

“Pendekatan ini selari dengan prinsip akuakultur sirkular yang menekankan penggunaan sumber secara lebih cekap, pengurangan sisa serta penggunaan semula nutrien dalam sistem pengeluaran,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Urusan KSSB, Jeffrey Lee Kat Choy berkata gabungan pengalaman industri, kepakaran akademik serta kekuatan penyelidikan dan inovasi mampu menghasilkan penyelesaian lebih berkesan bagi meningkatkan produktiviti, kecekapan dan kemampanan sektor akuakultur negara.

Kerjasama itu turut selari dengan Blueprint Keterjaminan Makanan UPM dan Blueprint Kesihatan Planet UPM yang memberi penekanan kepada pembangunan penyelesaian mampan demi kesejahteraan manusia, haiwan dan alam sekitar.

Photo credit dan sumber: Universiti Putra Malaysia (UPM)

Editor Kampuskini.my avatar

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *