KUALALUMPUR— Produk Whitening Sunscreen Nia by Dr. Huda ciptaan penyelidik Universiti Malaysia Kelantan (UMK) meraih Naib Johan Anugerah Usahasama Penyelidikan dan Perniagaan Malaysia Commercialisation Year (MCY) 2025, sekali gus membuktikan keupayaan hasil penyelidikan universiti dikomersialkan ke pasaran.
Kejayaan itu membolehkan penyelidik Fakulti Industri Asas Tani (FIAT) UMK, Prof. Madya Ts. Dr. Siti Nuurul Huda Mohammad Azmin membawa pulang hadiah wang tunai RM50,000 berserta trofi penghargaan.
Beliau berkata pencapaian itu amat bermakna kerana ia merupakan kemenangan pertama UMK dalam program MCY, selain membuktikan hasil penyelidikan universiti mampu diterjemahkan kepada produk komersial melalui sokongan dan kerjasama strategik bersama industri.
“Anugerah ini amat bermakna kerana ia merupakan kemenangan pertama UMK dalam MCY. Ini membuktikan hasil penyelidikan universiti mampu dikomersialkan dan keluar dari ruang makmal ke pasaran sebenar apabila mendapat sokongan padu daripada rakan industri,” katanya.
Hadiah berkenaan disampaikan Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Dr. Haji Mohammad Yusof Apdal pada majlis perasmian penutup National Innovation and Commercialisation Expo (NICE) 2026 di Kuala Lumpur Convention Centre (KLCC), baru-baru ini.
Prof Nuurul Huda berkata Whitening Sunscreen Nia by Dr. Huda menawarkan perlindungan SPF 40 PA+++ serta membantu mencerahkan penampilan dan menjaga kesihatan kulit.
“Keunikan produk ini terletak pada formulasinya yang memanfaatkan sisa pertanian sebagai ramuan bernilai tambah.
“Berdasarkan kajian saya, ekstrak kulit tembikai mengandungi komponen bioaktif yang mempunyai sifat antioksidan, anti-kedutan, hidrasi dan anti-radang,” katanya.
Menurut beliau, penggunaan ekstrak kulit tembikai bukan sahaja memberikan nilai fungsian dalam melindungi kulit daripada radikal bebas dan penuaan, malah menyokong amalan kelestarian hijau melalui pemanfaatan sisa pertanian.
Produk berkenaan dihasilkan menerusi kerjasama strategik antara UMK, SNH Cosmetic Lab Sdn. Bhd. dan Hannan Medispa Sdn. Bhd., selain telah dipatenkan serta meraih pelbagai anugerah inovasi di peringkat nasional dan antarabangsa.
Tambah beliau, produk itu melalui proses penilaian kompetitif apabila bersaing dengan 434 produk lain sepanjang 2025 menerusi Sesi Penilaian Due Diligence MCY.
Daripada jumlah itu, 139 produk dikenal pasti sebagai produk berpotensi tinggi di bawah KPI khas MCY sebelum hanya 29 produk mara sebagai finalis pada akhir Jun lepas.
Beliau berkata pencapaian itu memperlihatkan keupayaan penyelidik UMK menghasilkan inovasi berimpak dan berorientasikan pasaran, selaras dengan aspirasi universiti memperkukuh agenda penyelidikan, inovasi, keusahawanan dan pengkomersialan.
“Saya berharap anugerah itu menjadi inspirasi kepada seluruh warga penyelidik dan akademik UMK untuk terus menghasilkan penyelesaian inovatif, memperluas jaringan kerjasama bersama industri serta membawa lebih banyak hasil penyelidikan universiti ke pasaran,” katanya.
Photo credit dan sumber: Facebook rasmi Universiti Malaysia Kelantan (UMK)


Leave a Reply