KUALA NERUS, 30 Ogos 2026 — Festival Buku Pantai Timur 2026 (FBPT 2026) mencatat kejayaan memberangsangkan apabila menarik lebih 5,000 pengunjung sepanjang penganjuran sulungnya, sekali gus membuktikan sambutan positif masyarakat terhadap industri buku dan penerbitan ilmiah.
Naib Canselor Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), Prof. Datuk Dr. Fadzli Adam berkata kejayaan itu membuktikan industri penerbitan buku kekal relevan dan memainkan peranan penting dalam membina masyarakat berilmu.
“Lebih membanggakan, inilah penganjuran sulung yang menghimpunkan penerbit universiti, penerbit komersial, penulis, penyelidik dan masyarakat dalam satu wadah yang mengangkat penerbitan sebagai wahana pembangunan ilmu di Pantai Timur,” katanya ketika berucap pada Majlis Penutup Festival Buku Pantai Timur 2026 di sini.
FBPT 2026 menghimpunkan 40 pempamer, termasuk 34 penerbit di bawah Majlis Penerbitan Ilmiah Malaysia (MAPIM) serta penerbit komersial, selain menjadi platform pertemuan penulis, penyelidik dan masyarakat dalam memperkukuh ekosistem penerbitan dan pembudayaan ilmu.
Dalam pada itu, majlis turut menyaksikan pelancaran Sistem UniPRESS, iaitu sistem pengurusan manuskrip yang dibangunkan bagi memperkasa kecekapan proses penerbitan di UniSZA.
Sistem berkenaan membolehkan proses penghantaran manuskrip, semakan status, maklum balas serta pengurusan data penulis dilaksanakan secara lebih sistematik dan tersusun.
Prof Fadzli berkata pelaksanaan UniPRESS mencerminkan langkah proaktif UniSZA dalam memperkukuh ekosistem penerbitan selaras dengan perkembangan teknologi dan perubahan landskap penerbitan semasa.
“Dalam era kecerdasan buatan, penerbitan berautoriti dan berintegriti kekal penting sebagai wahana ilmu yang sahih.
“Teknologi mempercepatkan penyebaran maklumat, manakala penerbitan berkualiti membentuk kefahaman, mencabar pemikiran dan memperkaya perspektif,” katanya.
Beliau berkata masa depan penerbitan bukan terletak pada persaingan antara buku dengan teknologi, sebaliknya melalui sinergi kedua-duanya bagi memperluas akses masyarakat kepada ilmu pengetahuan.
Menurutnya, FBPT berpotensi terus berkembang sebagai platform yang memperkukuh hubungan antara institusi pengajian tinggi, industri penerbitan dan masyarakat.
Photo credit dan sumber: Facebook Rasmi Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA)


Leave a Reply