Home / Penyelidikan / PINASWEET bukti penyelidikan UTM mampu diterjemah kepada inovasi bernilai tambah

PINASWEET bukti penyelidikan UTM mampu diterjemah kepada inovasi bernilai tambah

SERDANG Universiti Teknologi Malaysia (UTM) memperkukuh usaha menterjemahkan hasil penyelidikan kepada inovasi yang memberi nilai tambah kepada industri pertanian menerusi penghasilan PINASWEET, pemanis semula jadi berasaskan nanas.

Naib Canselor UTM, Prof. Dr. Mohd Shafry Mohd Rahim berkata inovasi berkenaan membuktikan penyelidikan universiti perlu melangkaui penerbitan akademik dan makmal untuk diterjemahkan kepada penyelesaian sebenar yang memberi manfaat kepada industri serta masyarakat.

“Kerjasama strategik UTM–LPNM ini membuktikan bahawa penyelidikan universiti perlu melangkaui penerbitan dan makmal untuk diterjemahkan kepada penyelesaian sebenar yang memberi nilai tambah kepada hasil pertanian tempatan, memperkukuh industri serta menyumbang kepada agenda keterjaminan makanan dan kelestarian negara,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyaksikan pelancaran PINASWEET sempena Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agropelancongan Malaysia (MAHA) 2026 di Serdang, hari ini.

Pelancaran produk hiliran nanas itu disempurnakan Ketua Setiausaha Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM), Datuk Seri Isham Ishak bersama Ketua Pengarah Lembaga Perindustrian Nanas Malaysia (LPNM), Mohd Khairuzamri M. Salleh.

Menurut Mohd Shafry, penghasilan PINASWEET merupakan satu pencapaian yang membanggakan hasil usaha penyelidik UTM dalam menterjemahkan penyelidikan kepada inovasi yang berpotensi memberi manfaat kepada industri dan masyarakat.

“Semoga PINASWEET terus berkembang menuju pengkomersialan dan membawa inovasi UTM lebih dekat kepada masyarakat,” katanya.

Kerjasama strategik antara UTM dan LPNM menerusi penghasilan PINASWEET turut mencerminkan peranan universiti dalam memperkukuh rantaian nilai hasil pertanian tempatan melalui inovasi dan penyelidikan berimpak.

Photo credit: Universiti Teknologi Malaysia (UTM)

Editor Kampuskini.my avatar

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *