Home / Mahasiswa / UKM santuni pelajar baharu menerusi program Jejak Kasih Tekad Siswa

UKM santuni pelajar baharu menerusi program Jejak Kasih Tekad Siswa

BANGI– Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) mengambil pendekatan turun padang menerusi program Jejak Kasih Tekad Siswa bagi menyantuni pelajar baharu yang memerlukan bantuan sebagai persediaan sebelum memulakan pengajian di universiti.

Program yang bermula hari ini menyaksikan Naib Canselor UKM Prof Datuk Dr Sufian Jusoh bersama barisan pengurusan tertinggi universiti melakukan lawatan ke kediaman dua pelajar baharu masing-masing di Kajang dan Kota, Negeri Sembilan.

Dua pelajar berkenaan ialah Muhammad Irfan Yusain yang bakal mengikuti pengajian Sarjana Muda Sains dalam Statistik dengan Kepujian di Fakulti Sains dan Teknologi (FST), serta Nur Natasha Amirah Mohd Helmi yang akan mengikuti Sarjana Muda Sains Sosial dalam Kriminologi dengan Kepujian di Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan (FSSK).

Dalam lawatan itu, Sufian bersama Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni Prof Ts Dr Norinsan Kamil Othman menyampaikan surat tawaran pengajian selain barangan keperluan diri dan asrama kepada kedua-dua pelajar sebagai persiapan memasuki alam pengajian tinggi.

Pelaksanaan Jejak Kasih Tekad Siswa secara berperingkat mengikut zon merupakan usaha UKM memastikan bantuan pendidikan dapat disampaikan secara lebih tersusun, bersasar dan mengambil kira keperluan pelajar.

Program itu melibatkan lima zon iaitu Zon Utara, Zon Timur, Zon Tengah, Zon Selatan dan Zon Komuniti yang merangkumi kawasan Bangi dan Kajang.

Selain bantuan berbentuk keperluan asas, pendekatan turun padang berkenaan turut memberi peluang kepada pihak universiti memahami latar belakang serta keperluan pelajar baharu sebelum mereka memulakan kehidupan sebagai mahasiswa UKM.

Turut menyertai program ialah Ahli Lembaga Pengarah Universiti merangkap Pro Naib Canselor Strategi dan Kelestarian Prof Datuk Roslee Rajikan; Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Penyelidikan dan Inovasi Prof Dr Ismanizan Ismail serta Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Jaringan Industri dan Masyarakat Prof Dr Bariah Md Ali.

Hadir sama Pengarah Pusat Hal Ehwal Pelajar Prof Madya Ts ChM Dr Darfizzi Derawi dan Dekan FST Prof Ts Dr Faizal Mohamed.

Photo credit: Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM)

Editor Kampuskini.my avatar

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *