NILAI- Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) memperkasa kebajikan atlet menerusi inisiatif WaterForAthlete sebagai sokongan terhadap persiapan pasukan universiti menghadapi Sukan Institusi Pendidikan Tinggi (SUKIPT) 2026.
Inisiatif di bawah agenda MPP4U itu menyediakan bekalan air minuman secara percuma kepada pasukan sukan USIM bagi memenuhi keperluan penghidratan atlet, sekali gus membantu mereka mengekalkan stamina dan fokus sepanjang latihan serta pertandingan.
Pengarah WaterForAthlete Muhammad Alif Farhan Mohamad Fitri berkata inisiatif berkenaan menjadi wadah untuk menterjemahkan sokongan dan komitmen MPP terhadap atlet yang menggalas cabaran membawa nama USIM.
“Melalui inisiatif ini, kami mahu menyuntik semangat juang yang tinggi dan memastikan setiap atlet merasai penghargaan supaya mereka dapat memberikan tumpuan sepenuhnya untuk melakar kejayaan serta mengharumkan nama USIM,” katanya.
Pelaksanaan WaterForAthlete digerakkan secara berperingkat bermula 14 April lepas menerusi tajaan bekalan minuman kepada pasukan Futsal USIM yang beraksi dalam Liga Futsal IPT 2026.
Sokongan itu diteruskan pada 6 Ogos lepas menerusi sumbangan bekalan minuman kepada USIM FC yang kini bersaing dalam Divisyen 2 Liga Bola Sepak IPT 2026.
Muhammad Alif berkata MPP USIM turut merancang memperluas skop inisiatif berkenaan kepada aspek kebajikan asas atlet pada masa akan datang.
“Perluasan skop bantuan akan ditumpukan kepada sumbangan pemakanan harian, bantuan suplemen kesihatan serta penyediaan keperluan kelengkapan latihan yang bersesuaian,” katanya.
Beliau berkata kesinambungan program itu diharap dapat memperkukuh sokongan kepada atlet USIM yang bakal bertanding dalam SUKIPT 2026.
Photo credit: Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)


Leave a Reply