Home / Mahasiswa / Pengalaman setahun MPP UiTM bentuk lima kompetensi kepimpinan mahasiswa

Pengalaman setahun MPP UiTM bentuk lima kompetensi kepimpinan mahasiswa

oleh Editorial KampusKini

SHAH ALAM – Pengalaman menggalas tanggungjawab sebagai wakil mahasiswa selama setahun membantu membentuk lima kompetensi kepimpinan utama dalam kalangan Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) Universiti Teknologi MARA (UiTM) Sesi 2025/2026.

Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar) UiTM Profesor Dr. Mohd Sazili Shahibi berkata lima kompetensi itu merangkumi kebolehan memimpin organisasi, menyelaras gerak kerja merentasi pelbagai pihak, membuat keputusan strategik, menyelesaikan masalah secara berkesan dan menjadi rakan kerjasama yang konstruktif kepada universiti.

Beliau berkata pengalaman sepanjang tempoh perkhidmatan turut membentuk kematangan mahasiswa dalam mengendalikan isu kemahasiswaan, khususnya melalui pendekatan persefahaman, rundingan dan kerjasama dengan pihak pengurusan universiti.

“Kematangan kepimpinan terserlah apabila kita memilih untuk mengangkat kesatuan, bukan membesarkan perbezaan; mencari titik persamaan, bukan memperluas jurang pertentangan,” katanya ketika berucap pada Majlis Khas Pembubaran MPP UiTM Sesi 2025/2026 di Bangunan Budisiswa di sini.

Sepanjang tempoh perkhidmatan, barisan MPP terlibat dalam pelbagai agenda penting termasuk program permukiman kepimpinan, penyelarasan Minggu Destini Siswa (MDS), program pembangunan mahasiswa serta wacana dan sesi libat urus bersama pemimpin negara termasuk Perdana Menteri dan Menteri Pendidikan Tinggi.

Mohd Sazili berkata kepimpinan mahasiswa bukan sekadar berperanan menyuarakan aspirasi pelajar, malah turut menuntut keupayaan membina persefahaman dan mencari penyelesaian bersama pihak pengurusan universiti.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Yang Dipertua MPP UiTM Shah Alam Sesi 2025/2026 Mohamad Adib Hazim Mohamad Razali serta seluruh barisan MPP atas pengorbanan masa dan tenaga dalam mengimbangi tuntutan akademik dengan tanggungjawab memperjuangkan kebajikan mahasiswa.

Pembubaran MPP seluruh UiTM berkuat kuasa 13 November ini selaras dengan peruntukan Perenggan 3, Jadual Ketiga Akta Institusi-Institusi Pelajaran (Tatatertib) 1976 yang menetapkan tempoh perkhidmatan anggota perwakilan pelajar selama setahun.

Pada majlis itu, Mohd Sazili turut menyampaikan surat pembubaran rasmi kepada Mohamad Adib Hazim sebagai simbolik berakhirnya tempoh kepimpinan MPP sesi berkenaan.

Beliau berharap pengalaman yang diperoleh sepanjang tempoh tersebut menjadi bekalan kepada bekas pemimpin mahasiswa untuk terus menyumbang kepada universiti, masyarakat dan negara.

“Hari ini saudara dan saudari melepaskan sebuah jawatan, tetapi jangan sesekali melepaskan tanggungjawab untuk terus menjadi insan yang membawa manfaat kepada orang lain,” katanya.

Editor Kampuskini.my avatar

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Trending

🕌
Waktu Solat
Malaysia

Wilayah Persekutuan — Kuala Lumpur & Putrajaya


Imsak

05:39


Subuh

05:49


Syuruk

06:59


Zohor

13:02


Asar

16:24


Maghrib

18:59


Isyak

20:12

Sumber: e-Solat JAKIM