oleh Editorial KampusKini
KOTA BHARU – Universiti Malaysia Kelantan (UMK) menyasarkan untuk menjadi pusat rujukan utama dalam bidang kepakaran khusus menerusi pemerkasaan Program Signature di setiap fakulti dan Pusat Kecemerlangan (CoE), sekali gus memperkukuh hubungan penyelidikan dengan industri dan masyarakat.
Naib Canselor UMK, Datuk Prof. Ir. Ts. Dr. Arham Abdullah berkata kejayaan Gold, Rare Earth and Materials Technopreneurship Centre (GReAT) dalam bidang mineral membuktikan kemampuan universiti itu membangunkan kepakaran yang mendapat pengiktirafan pihak industri.
Beliau berkata UMK menerima pendanaan daripada PETRONAS Research Sdn. Bhd., geran SRF daripada Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) serta Malaysian Industry-Government Group for High Technology (MIGHT) bagi membangunkan teknologi unsur nadir bumi (REE) ke tahap lebih tinggi.
“Ini merupakan satu pengiktirafan kepada UMK untuk menjadi pusat rujukan sumber mineral. Seperti yang kita sedia maklum, REE merupakan salah satu elemen mineral utama yang mempunyai potensi besar untuk diterokai,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian UMK RDICES Summit (URS) dan Majlis Ilmuan Ulung UMK 2026 di UMK Kampus Kota, Pengkalan Chepa, baru-baru ini.
Arham berkata UMK turut membuktikan keupayaan mengkomersialkan hasil penyelidikan menerusi produk Biokenaf di Kampus Jeli, hasil kerjasama strategik dengan Lembaga Kenaf dan Tembakau Negara (LKTN) serta Aura Biocare Sdn. Bhd.
“Dalam tempoh setahun setengah produk ini diperkenalkan di pasaran, ia telah berjaya mencatatkan jualan mencecah satu juta kotak,” katanya.
Beliau berkata universiti berteraskan keusahawanan itu perlu menghubungkan kepakaran penyelidik dengan keperluan industri dan komuniti bagi menghasilkan penyelesaian praktikal, meningkatkan produktiviti serta menambah nilai sumber tempatan.
Sementara itu, Program 9th Carnival of Research and Innovation (CRI) 2026 yang berlangsung sempena URS 2026 menerima penyertaan 141 peserta, terdiri daripada 27 peserta secara fizikal dan 114 secara dalam talian.
Daripada jumlah itu, 19 peserta merupakan peserta antarabangsa dari Universitas Mercu Buana, Yogyakarta, Indonesia, manakala selebihnya mewakili institusi pengajian tinggi, agensi kerajaan dan sektor swasta.
Photo credit dan sumber: Facebook rasmi Universiti Malaysia Kelantan (UMK)


Leave a Reply