oleh Nurul Azimah Sarmawi
Berada di UiTM Cawangan Sabah sebagai pelajar Universiti Malaysia Sabah (UMS) yang sedang menjalani latihan industri memberikan pengalaman yang berbeza daripada rutin sebagai seorang mahasiswa. Selain mempelajari urusan pentadbiran, pengalaman ini turut membuka peluang untuk melihat bagaimana sesebuah institusi pendidikan memberi manfaat bukan sahaja kepada warganya malah kepada komuniti di sekitarnya.
Antaranya melalui penganjuran Program Jualan Rahmah Madani di UiTM Cawangan Sabah yang menawarkan barangan pada harga yang lebih berpatutan. Inisiatif seperti ini memberikan peluang kepada warga kampus untuk mendapatkan keperluan harian pada harga yang lebih mampu milik khususnya dalam menguruskan perbelanjaan.
Apa yang menarik perhatian ialah Program Jualan Rahmah Madani ini bukan hanya dikunjungi oleh warga UiTM. Orang awam turut hadir mendapatkan barangan yang ditawarkan. Kehadiran masyarakat dari luar kampus menunjukkan bahawa manfaat sesuatu inisiatif tidak semestinya terhad kepada komuniti dalam sesebuah institusi sahaja.
Sebagai seorang pelajar, saya melihat perkara ini dari sudut yang dekat dengan kehidupan mahasiswa. Perbelanjaan harian merupakan antara perkara yang perlu diurus dengan baik. Keperluan makanan dan barangan harian yang boleh diperoleh pada harga lebih berpatutan sedikit sebanyak dapat membantu seseorang berjimat dan mengurus kewangan dengan lebih baik.
Dalam masa yang sama, Program Jualan Rahmah Madani turut mewujudkan interaksi antara warga kampus dengan masyarakat setempat. Kampus bukan sekadar menjadi tempat untuk belajar dan bekerja tetapi boleh menjadi ruang yang memberi manfaat kepada komuniti melalui inisiatif yang dekat dengan keperluan mereka. Menurut Ketua Pentadbiran, Dr Salmiwati Othman, aktiviti seperti ini perlu dianjurkan secara kerap oleh
KPDN kerana ia membantu warga kerja universiti dalam menangani kos sara hidup mereka pada setiap bulan.
Sebagai pelajar UMS yang menjalani latihan industri di UiTM Cawangan Sabah, pengalaman ini memberikan perspektif bahawa kebajikan dan kesejahteraan masyarakat boleh diterjemahkan melalui usaha yang sederhana tetapi memberi kesan. Sesuatu yang kelihatan kecil dari sudut penganjuran boleh membawa makna kepada mereka yang memerlukan.
Program Jualan Rahmah Madani akhirnya bukan sekadar mengenai urusan membeli dan menjual. Di sebalik harga yang berpatutan terdapat nilai keprihatinan dan usaha untuk memberi manfaat kepada lebih ramai. Apabila warga kampus dan masyarakat sama-sama dapat merasai manfaatnya, universiti bukan sahaja menjadi tempat menimba ilmu tetapi turut menjadi sebahagian daripada komuniti yang saling memberi dan menerima.
Penulis merupakan Pelajar Latihan Industri, Bahagian Pentadbiran, Universiti Teknologi MARA (UiTM)


Leave a Reply