oleh Fairus Muhamad Darus
BANDAR BARU BANGI – Pensyarah Kanan Pusat Pengajian Kimia dan Persekitaran, Fakulti Sains Gunaan (FSG), Universiti Teknologi MARA (UiTM), Ezlan Elias berkongsi kepakaran dalam asas sains forensik dengan 30 peserta daripada pelbagai agensi penguatkuasaan menerusi Kursus Diploma Eksekutif Penguatkuasaan Undang-undang (APN-UiTM) Bil. 2/2026.
Ezlan dijemput sebagai tenaga pengajar kursus anjuran Akademi Perundangan Negara (APN) dengan kerjasama UiTM dan menyampaikan sesi berkenaan pada 18, 21 dan 22 September lalu.
Beliau berkata sesi Forensic Science memberi pendedahan kepada peserta mengenai asas penyiasatan tempat kejadian, pengenalpastian cap jari serta kaedah mendokumentasikan dan memelihara bahan bukti.
“Pendedahan kepada asas forensik membuka perspektif peserta tentang bagaimana ilmu ini dapat membantu tugasan pegawai penguat kuasa dan penyiasat, khususnya dalam pengendalian serta pemeliharaan bahan bukti,” katanya.
Ezlan turut menerangkan hubungan antara sains forensik dengan sistem keadilan jenayah, termasuk kepentingan memastikan bahan bukti dikendalikan secara teratur bagi menyokong proses penyiasatan.
Peserta kursus terdiri daripada wakil jabatan dan pejabat kesihatan, Jabatan Kastam Diraja Malaysia, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup serta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia.
Kepelbagaian latar belakang peserta membolehkan perkongsian ilmu dikaitkan dengan keperluan serta konteks tugasan penguatkuasaan dan penyiasatan yang berbeza.
Kursus berkenaan bertujuan meningkatkan pengetahuan peserta dalam bidang penguatkuasaan undang-undang serta memastikan mereka peka terhadap perkembangan dan pemakaian undang-undang terkini.
Pengisiannya menggabungkan pengajaran teori oleh tenaga pengajar UiTM dengan komponen praktikal yang dikendalikan tenaga pengajar APN, sekali gus menyediakan ruang perkongsian kepakaran akademik kepada pegawai daripada pelbagai agensi.


Leave a Reply