oleh Sharifah Shahana
SETIU– Seramai 80 murid Tahun 3 hingga Tahun 6 Sekolah Kebangsaan Peroh, Ajil menyertai Kem Kepimpinan Muda 2026: NEXT GEN LEADERS anjuran Fakulti Sains Sosial (FSS), University College Bestari (UCB) bagi memupuk potensi kepimpinan sejak di bangku sekolah.
Program sehari bertemakan Become A Leader of Tomorrow itu melibatkan murid yang memegang jawatan Pengawas Sekolah, Pengawas Pusat Sumber, Ketua Kelas dan Penolong Ketua Kelas.
Peserta didedahkan kepada kemahiran asas kepimpinan termasuk komunikasi berkesan, pembinaan keyakinan diri, integriti, disiplin, tanggungjawab dan kerja berpasukan menerusi aktiviti interaktif serta Latihan Dalam Kumpulan (LDK).
Pendekatan berasaskan pengalaman itu memberi peluang kepada murid berkomunikasi, bekerjasama, menyelesaikan tugasan dan membuat keputusan dalam suasana pembelajaran yang aktif.
Program berkenaan turut dikendalikan 12 fasilitator daripada Program Ijazah Sarjana Muda Kaunseling dengan Kepujian, UCB yang berpeluang mengaplikasikan kemahiran kaunseling dalam aspek komunikasi, kepimpinan dan pengurusan kelompok.
Penganjuran program itu diharap dapat membantu membentuk murid yang lebih yakin, berdisiplin dan bertanggungjawab serta mempunyai nilai integriti dan kemahiran insaniah sebagai persediaan menjadi pemimpin pada masa hadapan.


Leave a Reply