oleh Editorial KampusKini
KUALA NERUS – Empat pelajar baharu Universiti Malaysia Terengganu (UMT) daripada keluarga berpendapatan rendah (B40) menerima bantuan kewangan dan keperluan asas menerusi Program Ziarah Bingkas Kasih bagi meringankan beban mereka memulakan pengajian bagi sesi akademik 2026/2027.
Menjalankan Fungsi Naib Canselor UMT Prof Dr Suriyani Muhamad berkata inisiatif itu mencerminkan komitmen universiti memastikan kekangan ekonomi tidak menjadi penghalang kepada mahasiswa untuk melanjutkan pengajian dan mencapai cita-cita.
“UMT mahu memastikan pelajar daripada keluarga yang memerlukan tidak berasa keseorangan dalam meneruskan pengajian. Kita mahu mereka memanfaatkan peluang ini sebaik mungkin dan mencapai kejayaan yang bukan sahaja mengubah masa depan mereka, malah keluarga,” katanya.
Menerusi program itu, setiap pelajar menerima Baucar Makanan Dapo MAIDAM bernilai RM300, derma siswa RM500, Bantuan Yuran Awal Pengajian Bingkas Kasih RM200 serta bakul makanan sumbangan Pejabat Hal Ehwal Pelajar dan Alumni (HEPA) UMT.
Empat penerima ialah Nor Aliya Maisara Riduan yang mengikuti program Matematik Kewangan, Nur Ain Batrisyia Mohd Kamal (Perakaunan), Ahmad Naufal Mohd Hamdan (Pengurusan Maritim) dan Nur Adlina Ruzana Mohamad Nordin (Sains Biologi).
Suriyani berkata pendekatan kebajikan universiti bukan sekadar menyediakan bantuan kewangan, tetapi turut melibatkan usaha mendekati pelajar dan keluarga bagi memahami keadaan serta keperluan mereka.
“Setiap pelajar membawa harapan keluarga. Justeru, UMT akan terus memberikan sokongan supaya mereka dapat menumpukan perhatian kepada pengajian dan membina masa depan yang lebih baik,” katanya.
Sementara itu, Nur Ain Batrisyia berkata bantuan berkenaan memberi kelegaan kepada keluarganya dan meningkatkan keyakinan untuk meneruskan pengajian di UMT.
“Saya berharap dapat menggunakan peluang ini dengan sebaik-baiknya, menamatkan pengajian dengan jayanya dan membalas pengorbanan keluarga,” katanya.
Program Ziarah Bingkas Kasih turut memberi peluang kepada pengurusan UMT berinteraksi secara langsung dengan pelajar dan keluarga bagi mengenal pasti cabaran serta bentuk sokongan yang diperlukan.
Turut hadir Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UMT Prof Dr Mohd Izani Mohd Zain serta barisan pengurusan universiti.
Inisiatif berkenaan menjadi antara usaha UMT memperkukuh kebajikan dan kesejahteraan mahasiswa, khususnya pelajar daripada keluarga yang memerlukan, agar mereka dapat meneruskan pengajian tanpa terlalu dibebani kekangan ekonomi.
Photo credit dan sumber: Facebook rasmi Universiti Malaysia Terengganu (UMT)


Leave a Reply