oleh Editorial KampusKini
BANGI– Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) terus memperkukuh ekosistem penyelidikan dan inovasi menerusi penganjuran 6th Symposium on Industrial Science and Technology 2026 (SISTEC 2026) yang menghimpunkan pakar akademik, penyelidik, pemain industri dan agensi kerajaan.
Bertemakan “Converging Nanotechnology, Advanced Materials and Circular Economy for Sustainable Innovations”, persidangan dua hari itu memberi tumpuan kepada usaha menerjemahkan hasil penyelidikan kepada penyelesaian inovatif yang boleh dimanfaatkan industri dan masyarakat.
SISTEC 2026 dianjurkan Fakulti Sains dan Teknologi Industri (FSTI) dan Pusat Kecerdasan Bahan Termaju (CAIM) UMPSA dengan kerjasama Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) di Bangi Resort Hotel, di sini, dari 10 hingga 11 September.
Penolong Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) UMPSA Prof ChM Dr Mohd Hasbi Ab Rahim berkata persidangan itu menyediakan ruang kepada ahli akademik, penyelidik, pelajar pascasiswazah, pakar industri dan pihak berkepentingan berkongsi penemuan serta meneroka peluang kerjasama.
“Pertemuan ini memberi peluang peserta berkongsi hasil penyelidikan, bertukar pandangan dan meneroka peluang kerjasama dalam bidang sains dan teknologi industri,” katanya.
Majlis perasmian disempurnakan Pengarah Pusat Nanoteknologi Kebangsaan (NNC), MOSTI Profesor Madya Ir Dr Ahmad Mukifza Harun yang turut menyumbangkan RM40,000 bagi menyokong penganjuran serta aktiviti berkaitan sains, teknologi dan inovasi menerusi SISTEC 2026.
Persidangan itu turut menampilkan tokoh akademik dan industri dari dalam dan luar negara sebagai penyampai utama, antaranya Pengarah Battery Research Center of Green Energy, Ming Chi University of Technology, Taiwan Profesor Dr Chun-Chen Yang dan Ketua Pegawai Eksekutif NanoMalaysia Berhad Profesor (Adj.) Dr Rezal Khairi Ahmad.
Turut berkongsi kepakaran ialah Pengarah Urusan Galaxy Tech Solutions merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Center of Sustainability Analytics (CenSA) Ts Raja Shazrin Shah Raja Ehsan Shah serta Pengurus R&D Nextgreen Global Berhad Dr Tengku Arisyah Tengku Yasim-Anuar.
SISTEC 2026 turut mendapat sokongan sektor industri menerusi penglibatan pelbagai organisasi sebagai penaja, mencerminkan kerjasama antara akademia dan industri dalam memperkukuh pembangunan penyelidikan serta inovasi.
Pada persidangan itu, UMPSA turut mengiktiraf pembentang terbaik menerusi Best Presenter Award bagi kategori pelajar serta pensyarah, staf dan agensi.
Kategori pelajar dimenangi Muhammad Nor Arifin Yaakob dari UMPSA, manakala kategori pensyarah, staf dan agensi diraih Profesor Salah Jellali dari Sultan Qaboos University.
Penganjuran SISTEC 2026 mencerminkan komitmen UMPSA untuk menghubungkan kepakaran akademik dengan keperluan industri dan agenda negara dalam menghasilkan penyelidikan, teknologi serta inovasi yang menyokong pembangunan lestari.
Photo credit dan sumber: Facebook rasmi Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA)


Leave a Reply