Home / Sukan / 36 pasukan cilik meriahkan Kejohanan Bola Sepak dan Bola Jaring Kawasan Bangi

36 pasukan cilik meriahkan Kejohanan Bola Sepak dan Bola Jaring Kawasan Bangi

oleh Hanifah Nazira Mohamed Hanafiah 

KAJANG– Sebanyak 36 pasukan terdiri daripada murid tadika swasta Pusat Asuhan Tunas Islam (PASTI) seluruh Kawasan Bangi menyertai Kejohanan Bola Sepak dan Bola Jaring (BSBJ) yang berlangsung selama dua hari di One Tiger Arena, di sini baru-baru ini.

Kejohanan yang melibatkan kanak-kanak berusia antara lima hingga enam tahun itu bukan sekadar medan pertandingan, malah menjadi platform awal untuk mencungkil bakat sukan serta membentuk keberanian, disiplin dan semangat berpasukan dalam kalangan peserta cilik.

Ketua Unit Kokurikulum dan Latihan, Fairuz Nizam Zainal Abidin berkata penganjuran kejohanan itu bertujuan memberi ruang kepada murid mengembangkan potensi melalui aktiviti sukan, selain menggalakkan kerjasama antara murid, guru dan ibu bapa.

“Walaupun peserta masih kecil, mereka perlu belajar tentang ketenangan, konsentrasi, kesabaran dan koordinasi ketika bermain. Pengalaman seperti ini menjadi asas penting dalam pembentukan diri dan perkembangan potensi mereka,” katanya.

Beliau berkata aktiviti bola sepak dan bola jaring turut membantu perkembangan fizikal serta kemahiran kognitif kanak-kanak apabila mereka perlu memahami ruang, menganggar jarak, menentukan arah pergerakan dan membuat keputusan dalam tempoh singkat.

Menurutnya, permainan berkenaan juga melatih koordinasi mata, tangan dan kaki, keseimbangan badan serta kawalan pergerakan menerusi aktiviti seperti berlari, berhenti, menukar arah, menerima hantaran dan melakukan jaringan.

“Walaupun mereka belum memahami istilah taktikal atau strategi permainan secara mendalam, asas kepada pembangunan potensi dan bakat mereka sebenarnya sudah mula dibentuk.

“Dalam pembangunan sukan moden, seseorang individu bukan hanya memerlukan kemahiran teknikal, tetapi turut memerlukan disiplin, kekuatan mental, kebolehan bekerjasama dan keupayaan membuat keputusan,” katanya.

Fairuz Nizam berkata aspek pembentukan sahsiah turut diberi penekanan apabila peserta dididik supaya menghormati rakan sepasukan dan lawan, mematuhi peraturan, menerima keputusan serta mengutamakan semangat kesukanan.

“Langkah kecil hari ini adalah permulaan kepada impian besar pada masa hadapan. Menang atau kalah bukan ukuran utama, tetapi pengalaman, ukhuwwah dan pembentukan sahsiah itulah yang paling berharga.

“Bermain dengan semangat, bertanding dengan akhlak dan menang dengan tawaduk,” katanya.

Kejohanan itu dibahagikan kepada lapan kumpulan dengan setiap pasukan berentap bagi merebut kejuaraan, manakala pengadil pertandingan terdiri daripada pegawai profesional dan bertauliah daripada Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dan Persatuan Bola Jaring Malaysia (PBJM).

Acara bola sepak dimenangi Pasukan Bola Sepak Genius Mukmin, manakala Pasukan Bola Jaring Nurul Iman muncul juara acara bola jaring.

Selain kejuaraan keseluruhan, beberapa anugerah khas turut diberikan termasuk Penjaring Terbanyak, Pertahanan Terbaik, Penjaga Gol Terbaik dan Pemain Terbaik sebagai pengiktirafan terhadap prestasi cemerlang peserta sepanjang kejohanan.

Fairuz Nizam berkata penganjuran kejohanan itu diharap dapat menjadi titik permulaan kepada usaha mengenal pasti dan mengembangkan bakat sukan kanak-kanak secara lebih terancang.

“Kemenangan terbesar bukanlah ketika mengangkat piala, tetapi apabila seorang anak kecil mula menemui potensi terbaik dalam dirinya. Siapa tahu, tidak mustahil mereka bakal mewarnai arena sukan negara suatu hari nanti,” katanya.

Editor Kampuskini.my avatar

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *