oleh Masnawi Miskam
JOHOR BAHRU – Universiti Teknologi Malaysia (UTM) tampil membantu bakal mahasiswa daripada keluarga berpendapatan sederhana apabila Muhammad Rafif Rahmat menerima bantuan awal RM1,500 bagi persiapan melanjutkan pengajian di universiti itu.
Bantuan berkenaan terdiri daripada RM1,000 daripada Yayasan Perkasa Siswa (YPS) dan RM500 daripada UTM, disampaikan ketika kunjungan Naib Canselor UTM Prof Dr Mohd Shafry Mohd Rahim bersama pengurusan universiti ke kediaman keluarga Rafif hari ini.
Rafif, 19, bakal mendaftar sebagai mahasiswa baharu UTM pada 4 Okt ini untuk mengikuti program Sarjana Muda Sains Geoinformatik dengan Kepujian di Fakulti Alam Bina dan Ukur (FABU).
Beliau merupakan anak ketiga daripada empat beradik, manakala bapanya Rahmat Tutor bekerja sendiri untuk menyara keluarga dan ibunya Asnah Zulkifli tidak bekerja.
Menurut UTM, bantuan itu diharapkan dapat meringankan beban keluarga Rafif dalam menyediakan keperluan sebelum beliau memulakan pengajian, selain universiti turut komited membantu mendapatkan peluang biasiswa yang bersesuaian bagi menampung kos pengajian.
“Saya amat bersyukur kerana diberikan peluang untuk melanjutkan pengajian di UTM. Saya berharap bantuan yang diberikan dapat meringankan beban keluarga serta membantu saya membuat persediaan untuk memulakan kehidupan sebagai mahasiswa,” katanya.
Kunjungan pengurusan UTM itu turut menjadi tanda keprihatinan universiti terhadap kebajikan bakal mahasiswa dan keluarga, khususnya dalam memastikan faktor kewangan tidak menjadi penghalang untuk melanjutkan pengajian.
Dalam kunjungan berkenaan, Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir turut menghubungi Rafif menerusi panggilan video bagi menyampaikan ucapan tahniah dan kata-kata semangat menjelang pendaftaran beliau di UTM.
Rafif berkata peluang melanjutkan pengajian ke peringkat sarjana muda merupakan sesuatu yang amat disyukuri, selain menjadi dorongan untuk membina masa depan yang lebih baik buat dirinya dan keluarga.
Beliau turut berhasrat meneruskan minat dalam bidang seni, khususnya teater, sepanjang berada di UTM sebagai usaha mengembangkan kreativiti, keyakinan diri dan kemahiran insaniah.
Kisah Rafif mencerminkan usaha memastikan peluang pendidikan tinggi dapat dinikmati tanpa menjadikan kekangan kewangan sebagai halangan, dengan sokongan keluarga dan institusi pendidikan sebagai pemangkin kepada masa depan mahasiswa.
Photo credit dan sumber: Universiti Teknologi Malaysia (UTM)


Leave a Reply