oleh Editorial KampusKini
JOHOR BAHRU– Keseimbangan antara kemajuan teknologi digital, kecerdasan buatan (AI) dan media sosial dengan adab serta pemikiran kritis menjadi tumpuan Forum Intelektual Diraja Universiti Teknologi Malaysia (UTM) 2026 yang berlangsung di Dewan Sultan Iskandar, hari ini.
Forum yang memasuki siri kelima penganjurannya itu mengangkat tema “Adab dan Akal Dalam Dunia Digital Membina Masyarakat Berhemah” bagi memperkukuh kefahaman masyarakat terhadap kepentingan nilai dan tanggungjawab dalam mendepani perkembangan teknologi.
KDYMM Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofiah, yang juga Canselor UTM, berkenan berangkat ke forum berkenaan.
Turut berkenan hadir Yang Amat Mulia Che’ Puan Mahkota Khaleeda Johor, Pro-Canselor UTM.
Forum anjuran Akademi Tamadun Islam (ATI), Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan (FSSH) UTM dengan kerjasama Yayasan Raja Zarith Sofiah Negeri Johor, Waqaf An-Nur Corporation Berhad dan Perbadanan Islam Johor itu menghimpunkan kira-kira 1,500 peserta.
Peserta terdiri daripada ahli akademik, pelajar sekolah dan institusi pengajian tinggi, agensi kerajaan, pemain industri, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) serta masyarakat umum.
Perbincangan forum menampilkan Prof Dr Sharifah Hayaati Syed Ismail al-Qudsy dari Universiti Malaya, pakar psikiatri dan kesihatan mental Dr Fakrul Azren Azhar serta pelajar Sarjana Pengajian Islam ATI UTM, Ustaz Mohd Hambali Abd Rahman.
Sesi berkenaan dimoderatorkan Dekan FSSH UTM Prof Dr Arieff Salleh Rosman.
Pada majlis itu, Seri Paduka Baginda turut berkenan meninjau Showcase AI Transliterasi Manuskrip, Pameran Hasil Kajian Pengaruh dan Impak Gajet kepada Pelajar Sekolah serta pameran interaktif realiti maya (VR) hasil inovasi UTM.
Penganjuran forum berkenaan mencerminkan usaha UTM memperluas wacana ilmu mengenai penggunaan teknologi secara bertanggungjawab, di samping menekankan kepentingan adab dan pemikiran kritis dalam pembentukan masyarakat berhemah serta generasi yang mampu mendepani dunia digital.
Photo credit dan sumber: Facebook rasmi Universiti Teknologi Malaysia (UTM)


Leave a Reply