oleh Editorial KampusKini
BINTULU – Universiti Putra Malaysia Sarawak (UPM Sarawak) memperkukuh kapasiti profesional dalam bidang kesihatan ikan, diagnosis parasit dan biosekuriti akuatik menerusi Diagnostic Parasitology Workshop 2026 (DPW2026) yang berlangsung pada 5 dan 6 September baru-baru ini.
Bengkel anjuran Jabatan Sains Haiwan dan Perikanan, Fakulti Sains Pertanian dan Perhutanan, UPM Sarawak itu memberi tumpuan kepada pengesanan, pemeriksaan makmal dan pengenalpastian parasit ikan menerusi gabungan pembelajaran teori dan latihan amali.
Pengarah Program, Dr. Nora Faten Afifah Mohamad berkata penguasaan kemahiran diagnostik penting bagi memastikan pengurusan penyakit ikan dapat dilaksanakan dengan tepat dan berkesan.
“Diagnosis yang tepat merupakan asas kepada pengurusan penyakit yang berkesan. Melalui bengkel ini, kami berharap peserta bukan sahaja memperoleh pengetahuan teknikal, malah membina keyakinan untuk mengaplikasikan pendekatan diagnostik di tempat kerja masing-masing,” katanya.
Bengkel itu turut memberi pendedahan kepada peserta mengenai jangkitan parasit utama yang menyerang spesies akuakultur, prosedur persampelan diagnostik, teknik pembedahan ikan, pemeriksaan makmal serta pengenalpastian ektoparasit dan endoparasit.
Program yang dirasmikan Timbalan Dekan (Akademik dan Hal Ehwal Pelajar), Fakulti Sains Pertanian dan Perhutanan UPM Sarawak, Profesor Madya Dr. John Keen Chubo itu menampilkan pakar kesihatan ikan dan parasitologi daripada Institute of Tropical Aquaculture and Fisheries (Akuatrop), Universiti Malaysia Terengganu (UMT) dan UPM Sarawak.
Antaranya Profesor Dr. Marina Hassan dari Akuatrop, UMT dan Dr. Nor Azri Shah Norhan dari UPM Sarawak yang berkongsi kepakaran menerusi sesi kuliah, demonstrasi serta latihan amali di makmal.
DPW2026 turut disertai pegawai dan kakitangan perikanan daripada Bahagian Perikanan Darat, Jabatan Pertanian Sarawak, termasuk perwakilan dari Pejabat Pertanian Bahagian Kuching, Stesen Perikanan Darat Lingga, Pusat Perikanan Semariang Batu dan Pusat Perikanan Darat Tarat.
Penyertaan peserta dari Indonesia turut memberikan dimensi serantau kepada bengkel berkenaan, selain membuka peluang perkongsian ilmu dan pembangunan kapasiti dalam bidang kesihatan haiwan akuatik.
Dr. Nora berkata kerjasama berterusan antara institusi akademik, agensi kerajaan dan industri perikanan penting bagi memperkukuh pengurusan kesihatan ikan serta menyokong kelestarian sektor akuakultur dan perikanan.
Menurut beliau, pengukuhan keupayaan diagnostik turut menyokong prinsip Planetary Health melalui pengurusan penyakit yang lebih berkesan demi kesihatan haiwan, kelestarian ekosistem akuatik dan kesejahteraan manusia.
Pelaksanaan DPW2026 mencerminkan komitmen UPM Sarawak dalam memperkukuh latihan profesional berorientasikan amali, pemindahan ilmu dan pembangunan kapasiti, khususnya dalam bidang kesihatan haiwan akuatik.
Photo credit dan sumber: Facebook rasmi Universiti Putra Malaysia Sarawak


Leave a Reply