Home / Penyelidikan / KWT EV Academy perkasa tenaga pengajar TVET dalam teknologi kenderaan elektrik

KWT EV Academy perkasa tenaga pengajar TVET dalam teknologi kenderaan elektrik

oleh Mohd Hafiz A Samad 

KANGAR – KWT EV Academy memperkukuh pembangunan kompetensi tenaga pengajar Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) dalam teknologi kenderaan elektrik (EV) menerusi penganjuran program pensijilan profesional bersama Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) dan Yantai Vocational College, China.

Program Train the Trainer @ UniMAP – Yantai Professional EV Lecturer Certification Training yang berlangsung selama 15 hari atau 120 jam itu memberi pendedahan teori dan praktikal kepada pensyarah, tenaga pengajar, instruktor TVET serta pendidik teknikal dalam bidang automotif, elektrik, mekatronik dan bidang berkaitan.

Program yang berlangsung dari 10 hingga 28 Ogos lepas itu merangkumi 10 hari pembelajaran teori serta lima hari latihan praktikal dan penilaian kompetensi di UniMAP dan KWT EV Academy.

Menurut penganjur, perkembangan pesat industri EV memerlukan tenaga pengajar yang bukan sahaja menguasai pengetahuan teknikal, malah berupaya menyampaikan latihan berasaskan kompetensi yang selari dengan keperluan industri semasa.

Sehubungan itu, program berkenaan memberi penekanan kepada teknologi dan sistem EV terkini, kaedah diagnostik, keselamatan EV, standard serta amalan terbaik industri.

Peserta turut menjalani latihan amali berkaitan sistem EV dan penggunaan peralatan diagnostik, selain mengikuti penilaian praktikal bagi mengukur tahap kompetensi dalam melaksanakan tugasan berkaitan teknologi kenderaan elektrik.

Program itu turut menawarkan Professional EV Lecturer Certificate, bahan dan sumber latihan serta penilaian kompetensi bagi menyokong pembangunan profesional tenaga pengajar.

Selain latihan teori dan praktikal, peserta turut mendapat perkongsian kepakaran daripada profesional industri dan akademik, mengikuti lawatan industri serta kajian kes, sekali gus membuka peluang memperluas jaringan pendidikan dan industri di peringkat tempatan serta antarabangsa.

KWT EV Academy berkata pembangunan tenaga pengajar yang kompeten merupakan asas penting dalam melahirkan tenaga kerja EV yang berkemahiran, selamat dan mampu memenuhi keperluan industri automotif masa hadapan.

Kerjasama dengan UniMAP dan Yantai Vocational College itu turut mencerminkan usaha KWT EV Academy memperkukuh ekosistem TVET dalam bidang teknologi kenderaan elektrik yang semakin menjadi komponen penting dalam transformasi industri automotif global.

Editor Kampuskini.my avatar

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *