oleh Editorial KampusKini
KUALA TERENGGANU– Kepakaran Universiti Malaysia Terengganu (UMT) dalam penyelidikan dan konservasi marin terus mendapat pengiktirafan apabila Profesor Dr Chan Eng Heng menerima Merdeka Award 2026 bagi kategori Outstanding Contribution to Environment and Planetary Health.
Pengiktirafan itu mencerminkan sumbangan besar UMT dalam bidang pemuliharaan marin, khususnya menerusi penyelidikan dan usaha konservasi penyu yang dilaksanakan secara berterusan sejak lebih empat dekad.
Prof Chan bersama Profesor Madya Dr Liew Hock Chark merupakan pengasas Pusat Penyelidikan dan Pemuliharaan Penyu (SEATRU) pada 1984, yang pada peringkat awal memberi tumpuan kepada penyelidikan penyu belimbing di Terengganu.
Menurut UMT dalam kenyataan, SEATRU kemudiannya berkembang sebagai sebuah ekosistem penyelidikan dan konservasi yang merangkumi aspek sains, pemantauan populasi, perlindungan habitat, pendidikan, pembangunan bakat serta penglibatan komuniti.
Penyelidikan awal yang dijalankan turut menyediakan asas saintifik kepada usaha perlindungan penyu, termasuk pewujudan zon larangan menangkap ikan di Rantau Abang bagi membantu melindungi kawasan penting habitat penyu.
Selain itu, pemantauan penyu di Chagar Hutang, Pulau Redang yang bermula sejak awal 1990-an menjadi antara usaha berterusan SEATRU dalam memahami populasi dan ekologi penyu serta menyokong strategi pemuliharaan berasaskan sains.
Program sukarelawan SEATRU yang diperkenalkan pada 1998 pula memperluas penglibatan masyarakat dalam aktiviti konservasi, selain memberi peluang kepada pelajar dan sukarelawan memperoleh pengalaman secara langsung dalam kerja lapangan.
Walaupun Prof Chan bersara pada 2009, UMT berkata legasi penyelidikan dan konservasi yang dibangunkannya terus diperkukuh melalui kesinambungan kepakaran, pemindahan ilmu serta pembangunan generasi baharu penyelidik dan tenaga lapangan.
Kekuatan pendekatan UMT dalam bidang berkenaan turut terletak pada kesinambungan ekosistem yang menghubungkan penyelidik, pelajar, tenaga lapangan, agensi kerajaan, sektor korporat, komuniti serta sukarelawan dalam usaha pemuliharaan marin.
UMT berkata pengiktirafan Merdeka Award 2026 itu bukan sahaja mengiktiraf sumbangan Prof Chan, malah menyerlahkan kepakaran dan komitmen institusi berkenaan dalam penyelidikan marin serta pemuliharaan alam sekitar.
Sebagai universiti yang memberi penekanan kepada bidang marin dan akuatik, UMT akan terus memperkukuh penyelidikan berimpak tinggi serta usaha konservasi bagi menyokong kelestarian ekosistem marin dan pembangunan mampan.
Photo credit dan sumber: Facebook rasmi Universiti Malaysia Terengganu (UMT)


Leave a Reply