oleh Editorial KampusKini
KUANTAN – Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) menjadi tuan rumah 2026 Asian University Table Tennis Championship, sekali gus mencerminkan pengiktirafan terhadap keupayaan universiti itu menganjurkan kejohanan sukan universiti bertaraf antarabangsa.
Kejohanan yang berlangsung dari 5 hingga 11 Sept di Kompleks Sukan UMPSA, Paya Besar itu menghimpunkan 104 atlet dan pegawai dari 10 negara dan wilayah termasuk Brunei Darussalam, Chinese Taipei, Hong Kong, Mongolia, Nepal, China, Korea Selatan, Australia, Malaysia dan Kuwait.
Majlis pembukaan rasmi disempurnakan Timbalan Menteri Ekonomi Datuk Sri Mohd Shahar Abdullah.
Setiausaha Agung ASEAN University Sports Council (AUSC) Chiang Chai Liang berkata kejohanan berkenaan bukan sekadar medan persaingan merebut kejuaraan, malah platform memperkukuh hubungan antara institusi pengajian tinggi serta memupuk persahabatan dan persefahaman rentas budaya dalam kalangan mahasiswa Asia.
“Sukan ini bukan hanya mengenai kemenangan dan pingat. Ia adalah platform untuk membentuk nilai disiplin, hormat-menghormati, kerja berpasukan, ketahanan diri dan kepimpinan.
“Di luar gelanggang, para atlet berpeluang membina persahabatan serta memahami budaya antara satu sama lain,” katanya ketika menyampaikan ucapan alu-aluan pada majlis pembukaan kejohanan itu.
Sementara itu, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UMPSA Prof Ts Dr Mohd Rusllim Mohamed berkata penganjuran kejohanan berkenaan membuktikan keupayaan universiti menyediakan kemudahan, prasarana dan ekosistem yang memenuhi keperluan acara sukan bertaraf antarabangsa.
Beliau berkata penganjuran itu turut memberi peluang kepada warga universiti berinteraksi dengan atlet dan delegasi dari pelbagai negara, selain memperkukuh jaringan strategik antara institusi pengajian tinggi antarabangsa.
“Pada masa yang sama, kejohanan ini menjadi platform untuk memperkukuh jaringan strategik antara institusi pengajian tinggi antarabangsa serta memperkenalkan UMPSA sebagai destinasi penganjuran acara sukan universiti di peringkat global,” katanya.
Mohd Rusllim berkata penganjuran kejohanan itu selaras dengan agenda pengantarabangsaan UMPSA yang memberi penekanan kepada pembangunan bakat mahasiswa secara holistik melalui kecemerlangan akademik, penyelidikan dan kesukanan.
Kejohanan yang pernah dianjurkan di Hong Kong pada 2010 dan Abu Dhabi, Emiriah Arab Bersatu pada 2013 itu turut menyaksikan perarakan kontinjen, lafaz ikrar atlet dan pengadil serta persembahan kebudayaan Malaysia.
Penganjuran edisi 2026 di UMPSA dijangka membuka peluang kepada warga universiti dan masyarakat setempat menyaksikan aksi tenis meja bertaraf antarabangsa, selain memperkenalkan UMPSA dan Pahang sebagai destinasi pilihan bagi penganjuran acara sukan serta program akademik bertaraf global.
Hadir sama Bendahari Asian University Sports Federation (AUSF) Prof Ha Woong Yong.
Photo credit dan sumber: Facebook rasmi Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA)


Leave a Reply