oleh Editorial KampusKini
KUALA LUMPUR – Universiti Putra Malaysia (UPM) muncul juara keseluruhan Sukan Institusi Pendidikan Tinggi (SUKIPT) 2026 selepas mengumpul 35 pingat emas, 20 perak dan 15 gangsa pada temasya edisi ketujuh itu yang melabuhkan tirai hari ini.
Universiti Teknologi MARA (UiTM) menduduki tempat kedua dengan 29 emas, 21 perak dan 32 gangsa, manakala Universiti Malaya (UM) di tempat ketiga selepas meraih 28 emas, 18 perak dan 17 gangsa.
Kejayaan itu menyaksikan UPM mengulangi pencapaian muncul juara pada edisi SUKIPT 2022 dan meraih kejuaraan keseluruhan buat kali keempat.
Timbalan Ketua Kontinjen UPM Muhamad Malik Ahmad Tobias berkata kejayaan berkenaan di luar jangkaan kerana kontinjen itu pada awalnya tidak meletakkan sasaran untuk muncul juara keseluruhan.
“Alhamdulillah, untuk kali keempat UPM menjadi juara SUKIPT. Pada asalnya memang kita tidak menyasarkan untuk 2026 ini,” katanya seperti dilaporkan Bernama.
SUKIPT 2026 yang berlangsung sejak 28 Ogos lepas menghimpunkan 64 kontinjen dengan ribuan atlet bertanding dalam 30 jenis sukan di tujuh lokasi sekitar Kuala Lumpur.
Dalam pada itu, Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi Adam Adli Abd Halim menyifatkan pencapaian yang direkodkan pada SUKIPT 2026, termasuk dua Rekod Kebangsaan, sebagai bukti bahawa temasya berkenaan mempunyai potensi besar untuk menjadi medan pembangunan bakat sukan negara.
“Saya harap beberapa kejayaan yang dicatat dalam SUKIPT kali ini, contohnya termasuk dua rekod kebangsaan yang dipecahkan, itu menjadi satu pemangkin.
“Dan sebagai satu bukti bahawa SUKIPT, sukan IPT ini boleh dijadikan medan yang lebih luas dalam kita membangunkan bakat sukan negara,” katanya selepas Majlis Penutup SUKIPT 2026 di Dewan Tunku Canselor, Universiti Malaya, hari ini.
Beliau turut mengucapkan tahniah kepada UM selaku tuan rumah serta UPM yang berjaya mempertahankan kejuaraan keseluruhan, selain menyifatkan pencapaian atlet pada edisi kali ini sebagai perkembangan positif untuk sukan institusi pendidikan tinggi.
Sepanjang temasya, sebanyak 46 rekod kejohanan dipecahkan, merangkumi 13 dalam olahraga, 18 renang dan 15 memanah, manakala dua Rekod Kebangsaan masing-masing dicatat menerusi acara Kayak TK1 200 meter wanita dan Menembak 10 meter Air Rifle lelaki.
Atlet Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) Syahida Asyiqin Rusli dinobatkan sebagai Olahragawati SUKIPT 2026 selepas memecahkan Rekod Kebangsaan acara Kayak TK1 200 meter wanita dengan catatan 56.30 saat.
Sementara itu, atlet HELP University Rodney James Darren James dinobatkan sebagai Olahragawan selepas meraih tiga pingat emas serta memecahkan tiga rekod kejohanan dalam acara 10,000 meter, 5,000 meter dan 3,000 meter lari berhalangan.
Bagi UPM, beberapa acara menjadi penyumbang utama kepada kejayaan kontinjen berkenaan termasuk hoki lelaki dan wanita serta bola jaring yang masing-masing muncul juara, selain olahraga yang menyumbang 15 pingat emas menerusi acara individu.
Adam Adli berkata Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) akan terus memantau dan membantu persediaan atlet institusi pendidikan tinggi yang bakal membawa cabaran negara ke Sukan Universiti ASEAN (AUG) 2026.
“Saya harap beberapa bulan yang berbaki ini, kita boleh beri sokongan kepada pelajar-pelajar ini. Di peringkat KPT, tentu sekali kita akan terus pantau dan bantu dari segi penganjuran dan juga persediaan atlet-atlet kita,” katanya.
SUKIPT yang dianjurkan sejak 2012 merupakan antara temasya sukan terbesar di peringkat institusi pendidikan tinggi dan menjadi platform penting untuk mengenal pasti serta membangunkan bakat atlet dalam kalangan mahasiswa.
Edisi kali ini membawa tema “Mencipta Legasi Juara”, selaras dengan aspirasi KPT untuk melahirkan mahasiswa yang bukan sahaja cemerlang dalam sukan, malah mampu menyumbang kepada pembangunan sukan negara, perpaduan masyarakat dan kecemerlangan pendidikan tinggi.
Photo credit dan sumber: Facebook rasmi Kementerian Pendidikan Tinggi


Leave a Reply