oleh Editorial KampusKini
SINTOK – Alumni Universiti Utara Malaysia (UUM) digalak terus menyumbang kepada pembangunan universiti dan mahasiswa dengan memanfaatkan Alumni Learning and Training Centre (ALTRAC) sebagai platform perkongsian ilmu, pengalaman dan jaringan.
Penolong Naib Canselor UUM College of Arts and Sciences (CAS) Prof Dr Ts Osman Ghazali berkata kepulangan alumni ke kampus bukan sekadar untuk mengimbau kenangan ketika bergelar mahasiswa, sebaliknya menjadi simbol hubungan berterusan dengan alma mater serta peluang bersama-sama membina masa depan universiti.
“Datanglah ke UUM. Gunakanlah kemudahan yang telah disediakan. Bawalah pengalaman tuan-tuan dan puan-puan untuk dikongsikan dengan mahasiswa,” katanya ketika mewakili Naib Canselor UUM pada Majlis Kenduri Alumni Mai Balik UUM 2.0: The Legacy of Giving, di sini, semalam.
Beliau berkata ALTRAC bukan sekadar ruang fizikal, malah berperanan sebagai pusat pertemuan dan perkongsian ilmu yang boleh dimanfaatkan alumni untuk berinteraksi serta membimbing mahasiswa.
Katanya, alumni boleh memainkan peranan lebih luas melalui pelbagai aktiviti termasuk akademik, kebajikan, keusahawanan, sukan, rekreasi dan program komuniti.
Majlis berkenaan turut diserikan dengan penyertaan 20 kenderaan konvoi alumni yang sekali gus memperkukuh semangat kebersamaan serta hubungan berterusan antara alumni dan UUM.
Selain itu, Alumni UUM Sarawak (AURAS) turut menyerahkan sumbangan kepada UUM sebagai sebahagian daripada komitmen alumni dalam menyokong pembangunan universiti.
Osman berkata penglibatan alumni dalam pelbagai bentuk sumbangan mampu memberi manfaat langsung kepada mahasiswa, khususnya menerusi perkongsian pengalaman, bimbingan, jaringan profesional dan peluang kerjaya.
Beliau berharap penganjuran Mai Balik UUM 2.0 menjadi titik permulaan kepada lebih banyak program dan kolaborasi antara alumni, mahasiswa dan universiti pada masa hadapan.
“ALTRAC diharapkan menjadi pusat yang aktif dengan perkongsian ilmu, interaksi, aktiviti dan sumbangan alumni,” katanya.
Photo credit dan sumber: Facebook rasmi Universiti Utara Malaysia (UUM)


Leave a Reply