Home / Mahasiswa / 127 kadet PASKAM ditauliah Leftenan Muda, catat sejarah libatkan tiga UA

127 kadet PASKAM ditauliah Leftenan Muda, catat sejarah libatkan tiga UA

oleh Editorial KampusKini

PEKAN– Seramai 127 Pegawai Kadet Pasukan Kadet Maritim Malaysia (PASKAM) dari tiga universiti awam (UA) ditauliahkan sebagai Leftenan Muda PASKAM selepas menamatkan latihan selama empat semester yang menguji ketahanan fizikal dan mental serta membentuk disiplin dan kepimpinan.

Daripada jumlah berkenaan, 49 kadet UMPSA, 30 kadet UMT dan 48 kadet UniMAP menerima tauliah masing-masing.

Timbalan Ketua Pengarah Operasi Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Laksamana Madya (M) Mohd Zawawi Abdullah berkata pentauliahan itu bukan sekadar menandakan kejayaan menamatkan latihan, malah menjadi titik penting dalam pembentukan generasi muda yang mempunyai disiplin, jati diri, kepimpinan dan kesedaran terhadap tanggungjawab kepada negara.

“Sepanjang empat semester latihan, pelatih telah melalui pelbagai bentuk latihan dan pembelajaran yang menuntut ketahanan fizikal, kekuatan mental, disiplin serta kerjasama berpasukan.

“Pelatih bukan sahaja belajar untuk menjadi seorang kadet, sebaliknya dilatih untuk memahami tanggungjawab, kepimpinan, kesetiaan, keberanian dan khidmat kepada masyarakat serta negara,” katanya pada Majlis Tamat Latihan dan Pemakaian Pangkat Leftenan Muda PASKAM Peringkat Universiti Awam Kali Pertama Tahun 2026 berlangsung di Dewan Konvokesyen UMPSA Pekan, di sini, hari ini.

Beliau berkata PASKAM turut menjadi platform untuk mendekatkan mahasiswa dengan dunia maritim, khususnya dalam aspek keselamatan, penguatkuasaan serta tanggungjawab memelihara kepentingan dan kedaulatan negara di laut.

Pentauliahan itu mencatat sejarah apabila buat julung kalinya dilaksanakan secara bersama membabitkan Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA), Universiti Malaysia Terengganu (UMT) dan Universiti Malaysia Perlis (UniMAP).

Sementara itu, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UMPSA Prof Ts Dr Mohd Rusllim Mohamed berkata penganjuran pentauliahan secara bersama tiga UA itu merupakan detik bersejarah dalam perkembangan PASKAM di institusi pengajian tinggi negara.

Beliau berkata PASKAM yang ditubuhkan pada 21 Sept 2016 kini berkembang daripada inisiatif pembentukan mahasiswa melalui disiplin dan latihan maritim kepada wadah pembangunan kepimpinan mahasiswa.

“PASKAM bukan sekadar berkaitan kawad, pakaian seragam atau latihan fizikal, sebaliknya membentuk mahasiswa supaya menghormati masa, memahami arahan, mengutamakan koordinasi serta membina kepercayaan dan semangat berpasukan.

“Seorang pemimpin ialah orang yang bersedia berada di hadapan ketika tanggungjawab perlu dipikul. Inilah ciri graduan yang ingin kita lahirkan, iaitu graduan berpengetahuan, mempunyai sahsiah dan ketahanan diri yang tinggi, matang dalam membuat keputusan, berintegriti dan berani untuk memimpin,” katanya.

Mohd Rusllim berkata sehingga kini, kekuatan kadet aktif PASKAM di ketiga-tiga UA berjumlah 240 orang, masing-masing 94 di UMPSA, 65 di UMT dan 81 di UniMAP.

Beliau turut berharap kerjasama strategik antara UA dan APMM terus diperkasakan menerusi pendidikan, latihan profesional, penyelidikan, inovasi, pembangunan teknologi, penerbitan ilmiah dan pembangunan bakat.

Dalam pada itu, beliau berkata hubungan strategik UMPSA dan APMM turut dizahirkan menerusi penerbitan buku OP NAGA BARAT, Analisis Strategi, Ekonomi dan Pendakwaan dari Perspektif APMM, yang memperluas pemahaman mengenai keselamatan maritim daripada aspek ekonomi, kedaulatan, perundangan dan pembuatan keputusan strategik.

Photo credit dan sumber: Facebook rasmi Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA)

Editor Kampuskini.my avatar

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *