oleh Bazli Razak
TANJONG MALIM– Rancangan Pendidikan Tinggi Malaysia (RPTM) 2026-2035 memberi penekanan kepada pembangunan mahasiswa yang bukan sahaja kompeten dalam bidang akademik, malah memiliki nilai kemanusiaan dan karakter yang baik, kata Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir.
Beliau berkata matlamat pendidikan bukan sekadar melahirkan graduan berpengetahuan dan berkemahiran, sebaliknya membentuk individu yang lebih baik serta mampu berdepan perubahan dunia dan cabaran pasaran pekerjaan.
“Matlamat pendidikan ialah untuk menjadikan diri kita orang yang lebih baik. Kalau kita belajar tetapi karakter dan perangai kita menjadi lebih teruk, itu bukan matlamat pendidikan,” katanya pada sesi Sembang Santai Bersama Doc Zam sempena Karnival Siswa Perak Sejahtera 3.0 di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), semalam
Menurut beliau, pendekatan berteraskan kemanusiaan atau humanity-centric itu penting bagi memastikan kecemerlangan akademik mahasiswa berjalan seiring dengan pembentukan sahsiah dan nilai diri.
Zambry berkata perubahan pesat teknologi termasuk perkembangan kecerdasan buatan (AI), model bahasa besar dan teknologi pengkomputeran memerlukan sistem pendidikan tinggi menyediakan mahasiswa untuk menghadapi dunia pekerjaan yang semakin berubah.
“Cabaran adik-adik hari ini lebih dahsyat daripada zaman kami. Sebab itu kita perlu membuat perubahan dalam sistem pendidikan tinggi supaya adik-adik dapat mempersiapkan diri untuk berhadapan dengannya,” katanya.
Beliau berkata RPTM yang dirangka untuk tempoh 10 tahun akan datang turut membuka ruang pendidikan yang lebih fleksibel, termasuk membolehkan individu kembali melanjutkan pengajian selepas bekerja serta memanfaatkan laluan Pengakreditan Pembelajaran Berasaskan Pengalaman (APEL).
“Dunia kita hari ini adalah dunia yang berasaskan ilmu. Kalau adik-adik ketinggalan, dunia akan meninggalkan adik-adik. Garaplah dan belajarlah kerana ruang itu diberikan seluas-luasnya,” katanya.
Menyentuh Karnival Siswa Perak Sejahtera 3.0, beliau berkata program yang menghimpunkan 807 peserta daripada pelbagai institusi pengajian dan Tingkatan Enam itu menjadi platform penting untuk membina jaringan, keyakinan serta semangat kebersamaan dalam kalangan anak Perak.
Beliau berkata kepelbagaian latar belakang peserta daripada pelbagai daerah dan kaum mencerminkan semangat perpaduan yang perlu terus diperkukuh bagi memastikan Perak mempunyai generasi pemimpin masa depan yang berdaya saing.
“Kita jangan jadikan perbezaan institusi, sekolah atau daerah sebagai sebab untuk kita merasakan bahawa kita hanya dimiliki oleh daerah tertentu. Kita semua ialah anak-anak Perak,” ujar beliau.
Sementara itu, Naib Canselor UPSI Prof Datuk Dr Md Amin Md Taff berkata program berkenaan memberi ruang kepada siswa Perak untuk berkongsi pengalaman dan mendapatkan inspirasi daripada tokoh yang mempunyai pengalaman luas dalam kepimpinan serta pendidikan tinggi.
“Pertemuan seperti ini penting dalam membentuk generasi muda yang mampu menjadi pemimpin pada masa hadapan dan seterusnya menyumbang kepada pembangunan negara,” katanya.
Photo credit dan sumber: Facebook rasmi Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI)


Leave a Reply