Home / Akademik / UIAM perluas jaringan bahasa Inggeris serantau menerusi kerjasama Indonesia

UIAM perluas jaringan bahasa Inggeris serantau menerusi kerjasama Indonesia

oleh Editorial KampusKini

GOMBAK – Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) memperluas jaringan akademik serantau dalam bidang bahasa dan pendidikan menerusi kerjasama dengan Perguruan Diniyyah Puteri Padang Panjang, Indonesia.

Kerjasama melalui Memorandum Persefahaman (MoU) antara Institute for Language Advancement (IfLA), UIAM dan institusi pendidikan Indonesia itu memberi tumpuan khusus kepada penguasaan Bahasa Inggeris dalam sektor pendidikan.

Rektor UIAM Prof. Emeritus Datuk Sri Dr. Osman Bakar berkata kerjasama berkenaan membuka peluang kepada UIAM untuk memperluas jaringan dengan negara serantau yang semakin memberi perhatian terhadap penguasaan Bahasa Inggeris.

“UIAM berpotensi menarik perhatian negara-negara di rantau ini, khususnya yang kini sedang meningkatkan penguasaan bahasa Inggeris,” katanya.

Menurutnya, kerjasama itu turut merangkumi pertukaran pelajar dan kakitangan, penganjuran seminar serta bengkel, selain perkongsian maklumat akademik dan amalan terbaik antara kedua-dua institusi.

Kedua-dua pihak juga akan meneroka inisiatif pembangunan kapasiti dan profesional yang memberi manfaat bersama, khususnya dalam bidang bahasa dan pendidikan.

MoU itu ditandatangani oleh Prof. Emeritus Datuk Sri Dr. Osman Bakar dan Pengarah IfLA Puan Noor Haimiakhtar Datuk Abu Bakar bagi pihak UIAM, manakala Perguruan Diniyyah Puteri Padang Panjang diwakili Ketua Pegawai Eksekutifnya, Fauziah Fauzan El Muhammady bersama Yusmaneli.

Kerjasama tersebut mencerminkan usaha berterusan UIAM memperluas jaringan akademik antarabangsa serta memperkukuh pertukaran ilmu dan kepakaran dalam bidang bahasa dan pendidikan di rantau ini.

Photo credit dan sumber: Facebook rasmi Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM)

Editor Kampuskini.my avatar

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *