oleh Editorial KampusKini
ARAU – Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Perlis dan Universitas Islam Riau (UIR), Indonesia memperluas kerjasama akademik rentas negara menerusi peluang penyelidikan dan penerbitan bersama, pertukaran kepakaran serta mobiliti pelajar dan staf.
Rektor UiTM Cawangan Perlis Profesor Madya Dr. Ahmad Nizan Mat Noor berkata, usaha itu menjadi antara fokus utama kunjungan hormat delegasi UIR ke UiTM Cawangan Perlis di sini hari ini, yang turut membincangkan potensi penganjuran program akademik secara bersama serta pengukuhan jaringan pengantarabangsaan kedua-dua institusi.
“Perbincangan antara kedua-dua institusi memberi tumpuan kepada pengembangan kerjasama dalam bidang akademik, penyelidikan, inovasi, penerbitan dan pengantarabangsaan, termasuk pelaksanaan penyelidikan serta penerbitan bersama.
“Selain itu, kerjasama berkenaan turut membuka ruang kepada pertukaran kepakaran dan perkongsian ilmu, mobiliti pelajar dan staf serta penganjuran program akademik secara bersama,” katanya pada majlis berkenaan di Bangunan Pentadbiran UiTM Cawangan Perlis..
Delegasi UIR diketuai Timbalan Rektor Hal Ehwal Akademik, Penyelidikan dan Inovasi Prof. Dr. Fathurrahman.
Delegasi UIR turut terlibat dalam pelaksanaan Syarahan Pelawat dan Program Mobiliti Staf, yang menjadi platform perkongsian ilmu, kepakaran, pengalaman serta amalan terbaik antara warga kedua-dua institusi.
Delegasi UIR turut disertai Ketua Pejabat Antarabangsa dan Kerjasama Dini Tiara Sasmi, Ketua Bahagian Kerjasama Luar Negara Dr. Atikah Haira Bagawan, Ketua Bahagian Kerjasama Dalam Negara M. Irfan Rosyadi serta tiga staf Pejabat Antarabangsa UIR.
Kerjasama yang diperkukuh menerusi kunjungan itu dijangka membuka lebih banyak peluang kolaborasi rentas negara yang mampan dan berimpak, selain menyokong agenda pengantarabangsaan UiTM Cawangan Perlis dan UIR.
Photo credit dan sumber: Facebook rasmi Universiti Teknologi MARA (UiTM) Perlis


Leave a Reply