SERDANG– Universiti Malaysia Kelantan (UMK) dan Jabatan Perikanan Malaysia (DOF) memperkukuh kerjasama strategik dalam pembangunan sektor perikanan dan akuakultur negara menerusi pertukaran Memorandum Persefahaman (MoU) di Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agropelancongan Malaysia (MAHA) 2026, hari ini.
Naib Canselor UMK, Datuk Prof. Ir. Ts. Dr. Arham Abdullah berkata kerjasama itu menggabungkan kepakaran akademik UMK dengan keupayaan operasi DOF bagi menyokong pembangunan sektor perikanan dan akuakultur yang lebih mampan serta berteraskan teknologi.
“Kerjasama itu bukan sekadar hubungan antara sebuah universiti dengan sebuah agensi kerajaan, tetapi merupakan platform strategik untuk menggembleng ilmu, kepakaran, teknologi, penyelidikan dan inovasi bagi memperkukuh masa depan sektor perikanan negara,” katanya.
Beliau berkata dalam menghadapi cabaran keterjaminan makanan, pembangunan sektor perikanan perlu mengambil kira kelestarian sumber, perubahan iklim, ekonomi biru, keselamatan rantaian bekalan, kesejahteraan komuniti dan daya saing ekonomi negara.
Katanya, UMK mahu memastikan kepakaran akademik diterjemahkan kepada teknologi, inovasi, dasar dan model pembangunan yang mampu menangani keperluan sebenar masyarakat serta industri.
“Kita mahu membina satu ekosistem yang menghubungkan kerajaan, universiti, industri dan komuniti secara lebih erat supaya penyelidikan tidak berhenti sebagai penemuan, tetapi bergerak daripada makmal kepada industri, daripada industri kepada komuniti dan akhirnya memberi nilai kepada negara,” katanya.
Beliau berkata penggabungan kekuatan institusi dan visi nasional itu diyakini dapat menyumbang kepada pembangunan sektor perikanan yang lebih mampan, berdaya tahan, selain memperkukuh keterjaminan makanan Malaysia.
MoU berkenaan disempurnakan oleh Datuk Dr. Arham dan Ketua Pengarah Perikanan Malaysia Datuk Adnan Hussain, serta disaksikan Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar), Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Sri Norazman Ayub.
Sementara itu, Dekan Fakulti Industri Asas Tani (FIAT) UMK Dr. Raimi Mohamed Redwan berkata kerjasama itu membuka ruang lebih luas kepada penyelidik dan mahasiswa untuk melaksanakan penyelidikan, pembangunan inovasi serta pemindahan ilmu yang memberi impak langsung kepada komuniti dan industri.
“MoU itu turut menyerlahkan komitmen kedua-dua pihak dalam menghubungkan kepakaran akademik, penyelidikan dan inovasi dengan keperluan sebenar sektor perikanan negara,” katanya.
Hadir sama Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) UMK Prof. Dr. Wan Ahmad Amir Zal Wan Ismail.
Photo credit dan sumber: Facebook rasmi Universiti Malaysia Kelantan (UMK)


Leave a Reply