KUANTAN – Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) bersama Pertubuhan Peladang Kebangsaan (NAFAS) bagi memperkukuh kerjasama penyelidikan dan pembangunan (R&D) teknologi baja untuk menyokong inovasi serta kemajuan industri pertanian negara.
Naib Canselor UMPSA, Prof Dr. Yatimah Alias berkata kerjasama strategik itu memberi tumpuan kepada pembangunan teknologi dan inovasi baja, termasuk penghasilan baja prebiotik serta pembangunan paten baharu yang berpotensi dikomersialkan.
“Alhamdulillah, semalam saya mewakili UMPSA memeterai MoU bersama NAFAS bersempena Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agropelancongan Malaysia (MAHA) 2026 di Malaysia Agro Exposition Park Serdang (MAEPS) bagi memperkukuh kerjasama dalam bidang R&D baja,” katanya menerusi kenyataan.
Beliau berkata pertukaran MoU berkenaan disaksikan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu, sekali gus mencerminkan kepentingan kerjasama antara institusi pendidikan tinggi dan pemain utama sektor pertanian dalam memperkukuh ekosistem inovasi negara.
Menurutnya, kerjasama UMPSA dan NAFAS itu berpotensi menghubungkan kepakaran penyelidikan universiti dengan keperluan sebenar industri, khususnya dalam menghasilkan teknologi baja yang mempunyai nilai tambah serta prospek pasaran.
Dalam perkembangan berkaitan, Prof Dr. Yatimah turut menghadiri Fulbright 80th Anniversary Reception di Le Méridien Hotel Putrajaya, yang menghimpunkan pelbagai pihak bagi meraikan perjalanan lapan dekad program Fulbright.
Beliau berkata penglibatan UMPSA dalam program berkenaan turut diperkukuh menerusi pertukaran MoU bersama Fulbright, yang memberi ruang kepada pengembangan kerjasama akademik, pertukaran ilmu dan jaringan antarabangsa antara Malaysia dan Amerika Syarikat.
“UMPSA turut terlibat dengan sesi pertukaran MoU bersama Fulbright, yang terus memperkukuh hubungan akademik, pertukaran ilmu dan jaringan kerjasama antarabangsa antara Malaysia dan Amerika Syarikat,” katanya.
Hadir sama The Honorable Cate Dillon, Assistant Secretary of State for Educational & Cultural Affairs (ECA), U.S. Department of State serta Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan Tinggi, Datuk Ts. Dr. Haji Aminuddin Hassim.
Photo credit dan sumber: Facebook rasmi Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA)


Leave a Reply