Home / Kampus / 781 program daripada 241 institusi TVET sertai MTR 2026

781 program daripada 241 institusi TVET sertai MTR 2026

oleh Editorial KampusKini

KUALA LUMPUR– Sebanyak 781 program daripada 241 institusi Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) menyertai penilaian kendiri Malaysia TVET Rating (MTR) 2026, dengan 98.2 peratus program yang dinilai dikategorikan sebagai program berkesan.

Federation of JPK Accredited Centers Malaysia (FeMAC) dalam satu kenyataan berkata daripada jumlah berkenaan, 705 program daripada 229 institusi telah melalui proses verifikasi penarafan, sekali gus menunjukkan penyertaan yang melebihi sasaran ditetapkan.

Menurut FeMAC, institusi TVET swasta mencatatkan penyertaan terbesar dengan 406 program daripada 145 institusi, mencerminkan kesediaan penyedia latihan swasta menilai prestasi program berdasarkan standard nasional.

“Penyertaan ini menunjukkan kesediaan penyedia TVET swasta untuk menilai prestasi program berdasarkan standard nasional dan mengenal pasti ruang penambahbaikan yang berkaitan dengan keperluan industri,” menurut kenyataan itu hari ini.

Dapatan MTR 2026 turut menunjukkan 176 program daripada 62 institusi memperoleh penarafan lima bintang, yang boleh dijadikan asas untuk mengenal pasti kekuatan serta keutamaan penambahbaikan dalam pelaksanaan program TVET.

FeMAC menyambut baik pelaksanaan MTR 2026 sebagai instrumen penarafan bersepadu yang menyokong pengukuran kualiti, tadbir urus, prestasi dan keberhasilan program TVET.

Menurut pertubuhan itu, MTR tidak seharusnya dilihat sekadar sebagai mekanisme pemberian bintang atau pengiktirafan, sebaliknya berfungsi sebagai instrumen diagnostik dan penanda aras nasional untuk membantu institusi mengenal pasti jurang prestasi serta merancang penambahbaikan berasaskan bukti.

FeMAC berkata MTR turut memberi nilai tambah kepada institusi TVET swasta menerusi penanda aras kualiti nasional, peningkatan keyakinan pihak berkepentingan, pengukuhan tadbir urus dan profesionalisme pengajar serta penambahbaikan kemudahan latihan dan keselamatan.

Selain itu, penilaian berkenaan dapat membantu institusi memperkukuh kerjasama industri, meningkatkan kebolehpasaran graduan serta memperluas inovasi, keusahawanan, pengkomersialan, pengantarabangsaan dan agenda Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG).

Dalam pada itu, FeMAC menyambut baik usaha Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK) menambah baik garis panduan dan instrumen MTR secara berkala menerusi penglibatan pihak berkepentingan.

FeMAC berharap kaedah penilaian pada masa akan datang turut mengambil kira saiz, kapasiti pelajar dan skala penawaran program sesebuah institusi supaya penilaian dapat dibuat dalam kategori yang setara dan lebih adil.

Pertubuhan itu turut mencadangkan pelaksanaan taklimat, bengkel dan bimbingan secara berkala serta penyediaan platform penilaian digital yang lebih mesra pengguna bagi membantu institusi membuat persediaan menghadapi penilaian MTR.

FeMAC berkata pihaknya bersedia menjadi rakan strategik JPK dan penghubung kepada penyedia TVET swasta dalam menyampaikan penerangan, mendapatkan maklum balas serta membantu institusi membuat persediaan menghadapi penilaian MTR.

Photo credit dan sumber: Federation of JPK Accredited Centers Malaysia (FeMAC)

Editor Kampuskini.my avatar

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *