oleh Editorial KampusKini
PULAU PANGKOR – Sebanyak 40 unit tukun konkrit dilepaskan ke perairan Pulau Pangkor sebagai usaha memulihkan habitat hidupan laut dan menyokong kelestarian sumber marin menerusi Projek Tukun Program Semarak Siswa 2026.
Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir menyaksikan pelepasan tukun berkenaan pada majlis penutup program yang berlangsung dari 17 hingga 20 Sept di sini, semalam.
Program bertemakan “Siswa Berbakti, Rakyat Disantuni” itu disertai 84 peserta terdiri daripada 80 pelajar Universiti Tenaga Nasional (UNITEN) serta peserta Universiti Malaysia Kelantan (UMK).
Projek Tukun merupakan antara inisiatif yang dilaksanakan peserta bagi menyumbang kepada pemuliharaan ekosistem marin serta memastikan sumber alam terus terpelihara untuk generasi akan datang.
Sepanjang program, mahasiswa turut melaksanakan pelbagai aktiviti kemasyarakatan meliputi pendidikan STEM, teknologi, kelestarian alam sekitar dan kebajikan penduduk setempat.
Antara inisiatif yang dilaksanakan ialah bengkel robotik asas TechTrek, penyerahan inovasi pengering makanan solar Eco Food Dryer, pemasangan 10 unit lampu solar di kawasan tanah perkuburan dan sekolah serta penanaman lebih 200 anak pokok ambun-ambun.
Peserta turut membantu menaik taraf pendawaian elektrik Masjid Teluk Raja Bayang dan mengagihkan 100 kotak infaq kit kepada keluarga berpendapatan rendah, warga emas serta asnaf di lima kampung sekitar Pulau Pangkor.
Selain itu, mahasiswa melaksanakan aktiviti keceriaan seperti penghasilan mural di Sekolah Menengah Kebangsaan Pangkor dan menghias pondok Sekolah Kebangsaan Seri Pangkor, selain menganjurkan bengkel First Aider dan aktiviti sukan bersama komuniti.
Program Semarak Siswa menjadi platform kepada mahasiswa menerapkan ilmu serta kemahiran melalui aktiviti khidmat masyarakat yang memberi manfaat secara langsung kepada penduduk setempat.
UNITEN dalam kenyataan berkata program berkenaan turut menyokong usaha melahirkan mahasiswa yang bukan sahaja cemerlang dalam akademik, malah mempunyai semangat kesukarelawanan, kepekaan terhadap alam sekitar dan kesediaan menyumbang kepada masyarakat serta negara.
Photo credit dan sumber: Facebook rasmi Universiti Tenaga Nasional (UNITEN)


Leave a Reply