oleh Editorial KampusKini
KOTA BHARU – Seramai 3,636 pelajar baharu mendaftar di Universiti Malaysia Kelantan (UMK) bagi sidang akademik Semester September Sesi 2026/2027 sehingga 5 petang.
Naib Canselor UMK Datuk Prof Ir Ts Dr Arham Abdullah berkata proses pendaftaran secara fizikal di ketiga-tiga kampus UMK berjalan lancar menerusi sistem imbasan kod QR, yang membolehkan urusan dokumentasi setiap pelajar diselesaikan dalam tempoh kira-kira satu minit di kaunter.
Beliau berkata UMK turut memberi kelonggaran kepada pelajar baharu yang menghadapi kekangan kewangan dan tidak mempunyai peruntukan mencukupi untuk membayar yuran pendaftaran supaya mereka tetap boleh mendaftar masuk terlebih dahulu.
“Pihak Bahagian Kesejahteraan Mahasiswa, Pejabat Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) menyediakan pelbagai kemudahan kepada pelajar untuk mendapatkan bantuan serta sokongan yang bersesuaian bagi mempermudah pengajian mereka di UMK.
“Pelajar yang berdepan masalah boleh mendapatkan bantuan pihak universiti dengan memaklumkannya kepada pihak UMK,” katanya ketika ditemui pada Hari Pendaftaran Pelajar Baharu UMK Sesi Akademik 2026/2027 di UMK Kampus Kota, Pengkalan Chepa, di sini semalam.
Sementara itu, Fakulti Keusahawanan dan Perniagaan (FKP) mencatat jumlah tertinggi dengan 1,500 pelajar menerima tawaran kemasukan bagi sesi akademik berkenaan.
Selepas urusan pendaftaran selesai, pelajar baharu dan ibu bapa diberi ruang membuat persiapan sebelum mengikuti Minggu Mesra Mahasiswa (3M) yang bermula minggu ini.
Dalam pada itu, Prof Ir Ts Dr Arham menasihati pelajar baharu supaya belajar bersungguh-sungguh serta menggalas amanah yang diberikan ibu bapa dengan penuh tanggungjawab sepanjang menuntut ilmu di UMK.
Photo credit dan sumber: Facebook rasmi Universiti Malaysia Kelantan (UMK)


Leave a Reply