Home / Kampus / 302 warga UniSZA terima Anugerah Kecemerlangan Staf 2025

302 warga UniSZA terima Anugerah Kecemerlangan Staf 2025

KUALA NERUS – Seramai 302 warga Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) menerima pengiktirafan menerusi Majlis Anugerah Kecemerlangan Staf 2025 sebagai menghargai sumbangan, dedikasi dan pencapaian cemerlang mereka dalam pelbagai bidang perkhidmatan.

Majlis yang berlangsung di Dewan Al-Muktafi Billah Shah, UniSZA Gong Badak bertemakan “Prestasi Tinggi, Kejayaan Bersama” dan dirasmikan Pro Canselor UniSZA Tan Sri Dato’ Dr. Mohd Yusoff Md Nor.

Turut hadir Naib Canselor UniSZA Prof Datuk Dr. Fadzli Adam serta barisan pengurusan dan warga universiti.

Daripada keseluruhan penerima, seramai 257 menerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang, manakala masing-masing seorang menerima Anugerah Tokoh Akademik, Anugerah Ahli Akademik Harapan dan Anugerah Tamat Pengajian Dalam Tempoh (GOT).

Selain itu, Anugerah Jasa Bakti bagi warga yang telah berkhidmat selama 20 tahun diberikan kepada 24 penerima, manakala tiga penerima menerima Anugerah Pentadbir Universiti (APU) dan 15 lagi menerima Anugerah Akademik Universiti (AAU).

Majlis turut menyaksikan pelancaran Video Microlearning Pejabat Pendaftar sebagai inisiatif penyampaian maklumat secara ringkas, interaktif dan mudah diakses bagi memperkukuh komunikasi serta perkongsian maklumat dalam kalangan warga universiti.

Dalam majlis sama, Tan Sri Datuk Dr. Mohd Yusoff turut menerima pelantikan sebagai Felo Kehormat UniSZA sebagai pengiktirafan terhadap jasa, sumbangan dan peranan beliau dalam menyokong kecemerlangan serta pembangunan universiti.

Majlis Anugerah Kecemerlangan Staf 2025 itu mencerminkan komitmen UniSZA dalam memupuk budaya kecemerlangan selain mengiktiraf warga universiti yang menyumbang kepada pencapaian dan pembangunan institusi.

Editor Kampuskini.my avatar

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *