Home / Gaya hidup / 2,310 kakitangan, pesara UMS diraikan menerusi AKU 2026

2,310 kakitangan, pesara UMS diraikan menerusi AKU 2026

KOTA KINABALU Seramai 2,310 kakitangan dan pesara Universiti Malaysia Sabah (UMS) menerima pengiktirafan menerusi Majlis Anugerah Kecemerlangan UMS (AKU) 2026 sebagai menghargai sumbangan, dedikasi dan kecemerlangan mereka sepanjang tempoh perkhidmatan.

Majlis yang berlangsung di Ballroom Klagan Hotel, 1Borneo, di sini hari ini menyaksikan penyampaian 10 anugerah utama melibatkan kakitangan akademik, Kumpulan Pengurusan dan Profesional serta Kumpulan Pelaksana dari pelbagai Pusat Tanggungjawab UMS.

Daripada jumlah berkenaan, seramai 51 pesara menerima Anugerah Jasamu Dikenang, manakala 128 kakitangan dianugerahkan Anugerah Perkhidmatan Cemerlang dan 1,720 lagi menerima Anugerah Perkhidmatan Terpuji.

Pengiktirafan turut diberikan kepada 46 kakitangan menerusi Anugerah Mutiara bagi tempoh perkhidmatan 30 tahun, 52 penerima Anugerah Sanjungan Budi (25 tahun), 116 penerima Anugerah Jasa Setia (20 tahun) dan 99 penerima Anugerah Jasa Bakti (10 tahun).

Selain itu, seramai 91 penerima menerima Anugerah Inovasi, tiga JAFPIB menerima Anugerah JKKP-JAFPIB Terbaik Tahun 2025, manakala empat penerima menerima Anugerah Khas Naib Canselor.

Penyampaian anugerah disempurnakan oleh Naib Canselor UMS, Prof. Datuk Dr. Kasim Hj. Mansor.

Dalam ucapannya, beliau berkata UMS akan terus memperkukuh budaya kerja berprestasi tinggi menerusi sistem penilaian prestasi yang lebih menyeluruh, di samping mempergiat usaha menjana pendapatan universiti.

Menurutnya, langkah itu penting bagi memastikan UMS kekal relevan, tangkas dan berdaya saing dalam menghadapi perubahan landskap pendidikan tinggi yang semakin pantas dan kompleks.

“Pelaksanaan MyPerformance sebagai instrumen penilaian prestasi yang lebih menyeluruh, objektif dan berfokus kepada keberhasilan akan mendorong warga universiti menetapkan sasaran yang jelas, melaksanakan tanggungjawab dengan penuh komitmen serta meningkatkan kompetensi dan kualiti penyampaian perkhidmatan,” katanya.

Beliau berkata pengiktirafan menerusi AKU 2026 bukan sahaja menjadi tanda penghargaan terhadap pencapaian warga UMS, malah mencerminkan kepentingan budaya kerja cemerlang dalam memastikan kecemerlangan universiti dapat diteruskan secara berterusan.

Hadir sama Ahli Lembaga Pengarah UMS, Prof. Dr. Rasid Mail; Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), Prof. Datuk Dr. Rossita Shapawi; Pendaftar UMS, Luqman Ridha Anwar dan Bendahari UMS, Datuk Badrul Hisham Ismail; Penolong Naib Canselor (Strategik), Prof. Dr. Mohamad Saffree Jeffree; Penolong Naib Canselor (Jaringan Industri dan Masyarakat), Prof. Ts. Dr. Rayner Alfred serta Ketua Bahagian Pengurusan Sumber Manusia, Sirahim Abdullah.

Photo credit: Universiti Malaysia Sabah (UMS)

Editor Kampuskini.my avatar

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *