Oleh: Ahmad Safarman Dollah
Kota Bharu- Keterujaan jelas terpancar pada wajah 100 murid Sekolah Kebangsaan (SK) Banggu apabila mereka terpilih menyertai Program Majalah Dalam Kelas yang dianjurkan dengan kerjasama Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Wilayah Timur, baru-baru ini.
Program julung kali itu merupakan inisiatif bersama Unit Kokurikulum, Panitia Bahasa Melayu dan Pusat Sumber Sekolah bagi menyemai budaya membaca dalam kalangan murid, di samping memperkenalkan peranan DBP sebagai peneraju penerbitan bahan bacaan ilmiah dan sastera di negara ini.
Wakil DBP Wilayah Timur, Nur Anis Salwani Awang Mohammad berkata, pihaknya sentiasa mengalu-alukan usaha sekolah yang membawa bahan terbitan DBP ke dalam bilik darjah sebagai medium pembelajaran.
“DBP sentiasa menyokong inisiatif sekolah yang menjadikan bahan terbitan kami sebagai alat bantu pengajaran. Majalah bukan sahaja menyampaikan maklumat, malah mampu menyemai sikap ingin tahu, meningkatkan kreativiti serta memperkukuh penguasaan bahasa dalam kalangan murid,” katanya.
Beliau berkata, DBP komited untuk terus mendekati institusi pendidikan dengan menyediakan bahan bacaan yang memenuhi keperluan pendidikan semasa.
“Program seperti ini turut membuka minda murid terhadap dunia penulisan dan penerbitan sebagai bidang yang boleh diceburi pada masa hadapan,” ujarnya.
Sementara itu, Pengurus Program merangkap Ketua Panitia Bahasa Melayu SK Banggu, Noriha Che Wail berkata, penganjuran program tersebut memberi peluang kepada murid mengenali dunia penerbitan majalah dan buku terbitan DBP yang bukan sahaja menarik, malah sarat dengan nilai pendidikan.
“Program ini memperkenalkan majalah dan buku terbitan DBP kepada murid, guru serta ibu bapa. Secara tidak langsung, ia menggalakkan penggunaan Bahasa Melayu yang betul, memupuk minat membaca serta meningkatkan tahap literasi dalam kalangan murid,” katanya.
Menurut beliau, penggunaan majalah sebagai bahan pembelajaran merupakan pendekatan alternatif yang dapat membantu guru mempelbagaikan kaedah pengajaran dan pembelajaran supaya lebih menarik, interaktif dan berkesan.
“Selain itu, guru turut memperoleh manfaat apabila bahan terbitan DBP dijadikan sumber rujukan tambahan dalam proses penyampaian ilmu di bilik darjah,” katanya.
Program itu turut menampilkan Munsyi Dewan, Mohd Hazani Mahadi sebagai penceramah khas yang berkongsi pengalaman serta memberikan suntikan motivasi kepada para peserta.
Guru Besar SK Banggu, Noor Azniah @ Noni Mat Nor berkata, program yang julung kali diadakan itu mendapat sambutan amat menggalakkan apabila murid mengikuti setiap aktiviti dengan penuh semangat dan keterujaan.
Menurut beliau, kehadiran orang luar terutama DBP memberi nilai tambah kepada program serta mewujudkan suasana pembelajaran yang lebih segar dan bermakna.
“Ternyata program ini berjaya mengeratkan hubungan silaturahim serta mengukuhkan jaringan kerjasama antara pihak sekolah dengan DBP. Selain itu, ia memberi inspirasi kepada warga pendidik untuk terus merancang program yang mampu meningkatkan sahsiah dan kecemerlangan akademik murid,” katanya.
Beliau berkata, antara cabaran utama penganjuran ialah menyelaras program berskala besar yang melibatkan pelbagai pihak, namun semuanya dapat dilaksanakan dengan lancar hasil komitmen dan kerjasama semua warga sekolah.
“Cabaran ini menjadi pemangkin kepada kami untuk terus berinovasi dan mencipta kelainan dalam setiap program sekolah. Kami berharap lebih banyak program seumpama ini dapat dianjurkan pada masa hadapan sebagai usaha berterusan melahirkan generasi yang berilmu, berbudaya membaca dan berdaya saing,” katanya.


Leave a Reply