KANGAR – Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) meneruskan inisiatif Ziarah Kasih UniMAP dengan menziarahi bakal mahasiswa baharu yang menerima tawaran pengajian bagi Sidang Akademik 2026/2027 di Tanah Merah, Kelantan.
Kunjungan itu melibatkan Nurul Hidayah Abdullah, penerima tawaran mengikuti program Sarjana Muda Perakaunan dengan Kepujian di Fakulti Perniagaan dan Komunikasi UniMAP.
Kunjungan ke kediaman Nurul Hidayah di Gual Ipoh, Tanah Merah itu diketuai Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UniMAP Prof Dr Mohd Mustafa Al Bakri Abdullah yang mewakili pengurusan universiti.
Turut hadir Pengarah Jabatan Hal Ehwal Pelajar (JHEP) UniMAP Prof Madya Ir Ts Dr Mohamad Syahmie Mohamad Rasidi.
UniMAP dalam kenyataan memaklumkan Nurul Hidayah merupakan anak tunggal yang kehilangan ibu kira-kira dua tahun lepas dan kini tinggal bersama bapanya yang bekerja sebagai penoreh getah sebagai sumber pendapatan utama keluarga.
Menurut kenyataan itu, di sebalik kehidupan sederhana, Nurul Hidayah menyimpan impian untuk melanjutkan pengajian ke institusi pengajian tinggi serta membina masa depan lebih baik untuk diri dan keluarganya.
“Inisiatif Ziarah Kasih UniMAP mengambil pendekatan untuk hadir lebih dekat kepada bakal mahasiswa, bukan sekadar menyampaikan tawaran pengajian, tetapi turut memahami keadaan, menyantuni keperluan serta memberikan sokongan agar mereka lebih yakin melangkah ke alam pengajian tinggi,” menurut kenyataan itu.
UniMAP berkata inisiatif berkenaan mencerminkan komitmen universiti dalam memahami kepelbagaian latar belakang bakal mahasiswa serta memastikan mereka mendapat sokongan yang sewajarnya sebelum memulakan perjalanan sebagai mahasiswa.
Photo credit: Universiti Malaysia Perlis (UniMAP)


Leave a Reply