Home / Gaya hidup / UPMS, Tokyo NODAI perkukuh kerjasama antarabangsa menerusi JM-Exchange 2026

UPMS, Tokyo NODAI perkukuh kerjasama antarabangsa menerusi JM-Exchange 2026

BINTULU — Universiti Putra Malaysia Sarawak (UPMS) dan Tokyo University of Agriculture (Tokyo NODAI), Jepun terus memperkukuh hubungan akademik dan antarabangsa menerusi penganjuran Japan–Malaysia Student Research & Cultural Exchange 2026 (JM-Exchange 2026).

Program mobiliti bersama antara Institut Sains Ekosistem Borneo (IEB), UPMS dan Tokyo NODAI itu dirasmikan Pengarah UPMS, Prof. Dr. Shahrul Razid Sarbini pada satu majlis di Ruai Sri Meranti, UPMS, baru-baru ini.

Hadir sama Dekan Fakulti Sains Pertanian dan Perhutanan, Prof. Madya Dr. Noorasmah Saupi; Ketua Pentadbiran UPMS, Noor Hakim Ahmad serta Timbalan Pengarah Pusat Strategi dan Perhubungan Korporat UPMS, Siti Rajanah Abdul Aziz.

Edisi kedua JM-Exchange yang berlangsung dari 25 Ogos hingga 7 September itu menghimpunkan 10 pelajar Tokyo NODAI bersama dua pensyarah pengiring, Prof. Dr. Mami Irie dan Dr. Maky Otsuka, serta 12 pelajar UPMS yang berperanan sebagai rakan program dan pembelajaran.

Program berkenaan meneruskan kejayaan penganjuran sulung pada 2025 yang melibatkan 18 pelajar daripada kedua-dua institusi.

Dalam ucapan perasmian, Prof. Shahrul mengalu-alukan kehadiran delegasi Tokyo NODAI ke UPMS dan menekankan kepentingan program mobiliti antarabangsa dalam memperluas pengalaman pembelajaran mahasiswa.

Beliau berkata platform berkenaan bukan sahaja memberi peluang kepada pelajar berkongsi pengetahuan dan pengalaman, malah membolehkan mereka memahami budaya antara Malaysia dan Jepun serta membina jaringan yang boleh diteruskan selepas program berakhir.

“Manfaatkan peluang ini untuk berkongsi pengetahuan, memahami budaya satu sama lain dan membina hubungan yang dapat diteruskan selepas program berakhir,” katanya.

Menurutnya, pengalaman pembelajaran rentas negara dapat membantu mahasiswa membangunkan kemahiran komunikasi, kerja berpasukan dan kebolehsuaian yang penting dalam menghadapi persekitaran akademik serta kerjaya yang semakin global.

Program yang diketuai Dr. Keeren Sundara Rajoo selaku Pengarah Program itu dirangka sebagai pengalaman pembelajaran kolaboratif yang menggabungkan aktiviti akademik, penyelidikan, kelestarian alam sekitar, pembelajaran lapangan dan pertukaran budaya.

Sebelum bertemu secara bersemuka di Bintulu, peserta daripada kedua-dua universiti telah berinteraksi serta membuat persediaan bersama secara dalam talian selama kira-kira dua bulan.

Sepanjang program, peserta akan mengikuti kuliah dan aktiviti penyelidikan bersama, lawatan lapangan serta program libat urus dengan komuniti dan industri.

Antara pengisian utama ialah lawatan ke Niah dan pengalaman bermalam di rumah panjang masyarakat Iban yang memberi pendedahan secara langsung kepada biodiversiti, budaya serta persekitaran sosioekonomi Sarawak.

Pendekatan berasaskan pengalaman itu menjadikan Sarawak sebagai “makmal kehidupan” kepada peserta untuk memahami isu biodiversiti, pembangunan komuniti dan kelestarian secara langsung di luar bilik kuliah.

Program berkenaan turut memberi penekanan terhadap pembangunan kemahiran insaniah, termasuk komunikasi antara budaya, kepimpinan, kerja berpasukan dan kebolehsuaian dalam persekitaran antarabangsa.

Selaras dengan fokus kelestarian, JM-Exchange 2026 turut membawa aspirasi sebagai program mobiliti sifar sisa dengan menggalakkan peserta mengurangkan penggunaan bahan pakai buang serta mengamalkan pengurusan sumber secara bertanggungjawab.

Photo credit: Universiti Putra Malaysia Sarawak (UPMS)

Editor Kampuskini.my avatar

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *