KUALA LUMPUR– Universiti Putra Malaysia (UPM) mencipta sejarah apabila muncul juara sulung Pertandingan Debat Piala Ketua Audit Negara (PKAN) 2026 yang julung kali dianjurkan sempena sambutan 120 Tahun Jabatan Audit Negara.
UPM menewaskan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) dalam pusingan akhir yang berlangsung di Bangunan Parlimen Malaysia menerusi perbahasan usul “Dewan Ini Percaya Bahawa Budaya Akauntabiliti Perlu Melengkapi Tindakan Punitif dalam Menangani Kegagalan Tadbir Urus”.
Ketua Pasukan Debat UPM Muhammad Faiz Ahmad Zaini berkata kejayaan itu hasil latihan berterusan, persediaan rapi dan kerjasama erat seluruh pasukan.
“Perkampungan yang kami jalani selama dua minggu sangat efektif kerana bukan sahaja meningkatkan pengetahuan dan kefahaman terhadap usul, malah membentuk kerjasama serta keserasian dalam pasukan.
“Setiap ahli saling melengkapi, berkongsi pandangan dan memperbaiki kelemahan masing-masing sehingga kami lebih bersedia untuk menghadapi pertandingan,” katanya.
Beliau berkata antara cabaran terbesar yang dihadapi pasukan ialah perubahan usul pada saat-saat akhir yang memerlukan mereka menyesuaikan strategi, membuat persediaan semula dan membina hujah dalam tempoh terhad.
Menurutnya, pasukan turut berdepan tekanan untuk mempertahankan pencapaian sebelum ini, namun tekanan berkenaan dijadikan motivasi bagi membuktikan kejayaan lalu adalah hasil disiplin, persediaan dan semangat berpasukan.
“Pengalaman melalui setiap peringkat pertandingan turut menguji ketahanan mental dan keupayaan pasukan untuk kekal fokus, khususnya apabila berdepan pasukan-pasukan berpengalaman dalam arena debat.
“Bukan mudah untuk mara ke suku akhir, apatah lagi untuk terus melangkah ke separuh akhir dan final. Setiap pusingan memberikan cabaran yang berbeza dan kami perlu sentiasa bersedia untuk menyesuaikan pendekatan,” katanya.
Faiz berkata kejayaan mara ke final membuka peluang kepada pasukan untuk mencipta sejarah, namun mereka tetap menganggap setiap perlawanan sebagai cabaran yang perlu dihadapi dengan tenang dan disiplin.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Kelab Debat Bahasa Melayu UPM, barisan jurulatih dan alumni, Bahagian Hal Ehwal Pelajar (BHEP) UPM serta Kolej Kediaman Tan Sri Aishah Ghani atas sokongan, bimbingan dan kemudahan yang diberikan sepanjang persediaan pasukan.
Sementara itu, Pertandingan Debat PKAN 2026 berlangsung dengan saringan awal selama dua hari pada 13 dan 14 Ogos di Akademi Audit Negara, Bandar Enstek, Nilai, sebelum pusingan akhir diadakan di Bangunan Parlimen Malaysia pada 15 Ogos.
Majlis penutupan pertandingan disempurnakan Yang di-Pertua Dewan Rakyat Tan Sri Datuk Dr. Johari Abdul dan turut dihadiri Ketua Audit Negara Dato’ Seri Wan Suraya Wan Mohd Radzi.
Photo credit: Universiti Putra Malaysia (UPM)


Leave a Reply