KUALA NERUS, 16 Ogos 2026– Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) mencatat sejarah baharu apabila dinobatkan sebagai juara keseluruhan Kejohanan Sukan Staf Antara Universiti Malaysia (SUKUM) ke-46, sekali gus menamatkan penantian untuk muncul juara buat kali pertama.
Kejohanan yang berlangsung di UniSZA dari 8 hingga 15 Ogos itu menyaksikan kontinjen tuan rumah mengungguli saingan membabitkan 20 pasukan dengan mengumpul keseluruhan 18 pingat emas, 10 perak dan 15 gangsa.
Naib Canselor UniSZA Prof Datuk Dr Fadzli Adam berkata pencapaian berkenaan merupakan hasil komitmen menyeluruh daripada atlet, jurulatih serta pasukan pengurusan yang bekerja keras sepanjang persiapan menghadapi kejohanan.
Beliau berkata kejayaan tersebut turut didorong oleh disiplin tinggi, pengorbanan dan semangat berpasukan yang ditunjukkan oleh kontinjen UniSZA dalam setiap acara yang disertai.
“Kejayaan ini menjadi kemuncak kecemerlangan kontinjen UniSZA yang mempamerkan prestasi konsisten dalam pelbagai acara sepanjang kejohanan, selain membuktikan kemampuan atlet universiti itu bersaing pada peringkat tertinggi dalam kalangan institusi pendidikan tinggi awam negara,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Antara acara yang menyumbang kepada kutipan pingat UniSZA ialah olahraga, golf, footgolf, badminton dan bola tampar.
Pencapaian itu sekali gus menjadi detik penting buat UniSZA dalam penyertaan SUKUM, selain memperlihatkan keupayaan warga universiti berkenaan mengangkat prestasi sukan staf ke tahap yang lebih tinggi.
Photo credit: FB Universiti Sultan Zainal Abidin – FB Rasmi


Leave a Reply