Home / Utama / UniMAP pasang 40 lampu solar perkasa komuniti Kampung Panggas Kecil

UniMAP pasang 40 lampu solar perkasa komuniti Kampung Panggas Kecil

KANGAR— Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) menerusi Pusat TVET UniMAP dengan kerjasama Fakulti Kejuruteraan dan Teknologi Elektrik (FKTE) melaksanakan Program Pemasangan Lampu Jalan Solar di Kampung Panggas Kecil, di sini, menerusi Program Kampung Angkat MADANI (KAM) 2026, Kementerian Perpaduan Negara (KPN).

Program itu merupakan sebahagian daripada kerjasama strategik antara KPN dan UniMAP dalam memperkasa komuniti setempat melalui pemanfaatan kepakaran, teknologi serta inovasi universiti bagi meningkatkan kesejahteraan dan kualiti hidup masyarakat.

Sebanyak 40 set lampu jalan solar dipasang di lokasi yang dikenal pasti di sekitar kampung berkenaan, yang dijangka memberi manfaat kepada lebih 500 penduduk.

Inisiatif itu bukan sahaja menyediakan pencahayaan lebih baik pada waktu malam, malah turut meningkatkan aspek keselamatan dan keselesaan penduduk, selain menyokong penggunaan tenaga bersih serta teknologi lestari.

Pelaksanaan program berkenaan turut membabitkan 30 warga UniMAP terdiri daripada staf dan pelajar yang terlibat secara langsung dalam kerja pemasangan di lapangan.

Penglibatan itu memberi peluang kepada pelajar mengaplikasikan pengetahuan dan kemahiran teknikal dalam situasi sebenar, selain membentuk nilai kepimpinan, kerja berpasukan, pengurusan projek dan tanggungjawab sosial terhadap komuniti.

Program berkenaan diselaraskan PM Ts. Dr. Faizah Abu Bakar dan PM Ir. Ts. Dr. Ahmad Zaidi Abdullah dengan penglibatan warga Pusat TVET UniMAP serta FKTE dalam aspek perancangan, penyediaan teknikal dan pelaksanaan kerja pemasangan.

Inisiatif itu mencerminkan komitmen berterusan UniMAP dalam memperkukuh hubungan universiti dengan masyarakat menerusi pendekatan ‘teknologi untuk komuniti’, selaras dengan peranan institusi pendidikan tinggi dalam menghasilkan impak mampan kepada masyarakat dan negara.

Kerjasama KPN dan UniMAP itu turut memperlihatkan bagaimana teknologi tenaga solar boleh dimanfaatkan bukan sahaja sebagai alternatif tenaga lebih bersih, malah sebagai medium memperkasa komuniti serta menyokong pembangunan kampung yang lebih selamat dan lestari.

Photo credit: Universiti Malaysia Perlis (UniMAP)

Editor Kampuskini.my avatar

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *