PEKAN – Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) dan Rejimen 505 Askar Wataniah meneroka peluang memperluas kerjasama dalam bidang pembangunan bakat, pendidikan, latihan, kepimpinan dan kesukarelawanan menerusi kunjungan hormat delegasi rejimen itu ke UMPSA Pekan.
Kunjungan diketuai Timbalan Komander Rejimen 505 Askar Wataniah Lt. Kol. Mohd Hasry Bohari bersama Ketua Cawangan Tadbir Mej. Nik Abd Aziz Nik Mat dan Penolong Pegawai Pemerintah Batalion Pertama Rejimen 505 Askar Wataniah Mej. Saidi Mokhtar.
Turut menyertai delegasi ialah Ketua Kompeni Alpha Batalion Pertama Rejimen 505 Askar Wataniah Mej. Ts. Hazami Hussin dan Ketua Kompeni Alpha Batalion Keempat Rejimen 505 Askar Wataniah Mej. Dr. Haji Imaduddin Abidin.
Delegasi berkenaan mengadakan pertemuan dengan Naib Canselor UMPSA Prof Ts. Dr. Yatimah Alias bagi membincangkan bentuk kerjasama yang boleh memberi manfaat kepada kedua-dua pihak, khususnya dalam memperkukuh pembangunan modal insan warga universiti.
Yatimah berkata kerjasama dengan Rejimen 505 Askar Wataniah mempunyai nilai strategik dalam melengkapkan pembangunan warga UMPSA menerusi pendedahan kepada aspek disiplin, kepimpinan, ketahanan diri dan kerja berpasukan.
“Universiti melihat kerjasama ini sebagai satu platform yang dapat melengkapkan pembangunan warga UMPSA bukan sahaja dari aspek akademik dan profesional, tetapi turut dari sudut kepimpinan, disiplin, ketahanan diri serta semangat kesukarelawanan.
“Pengalaman dan kepakaran yang dimiliki Rejimen 505 Askar Wataniah boleh dikongsikan bersama warga universiti, manakala UMPSA pula mempunyai kepakaran akademik, program pengajian serta kemudahan yang boleh dimanfaatkan secara bersama,” katanya dalam kenyataan.
Beliau berkata antara perkara yang diberi perhatian ialah usaha meningkatkan penyertaan warga UMPSA dalam Askar Wataniah sebagai platform pembentukan sahsiah, disiplin, kepimpinan dan kompetensi.
Sehubungan itu, satu sesi taklimat dan promosi kepada staf UMPSA akan dicadangkan bagi memberi penerangan lebih menyeluruh mengenai peluang menyertai pasukan sukarela berkenaan.
“Kita mahu melihat lebih ramai warga UMPSA mengambil peluang untuk melibatkan diri dalam aktiviti yang dapat membina kepimpinan dan ketahanan diri.
“Penglibatan dalam Askar Wataniah bukan sahaja memberi pengalaman baharu, malah dapat membentuk individu yang lebih berdisiplin, cekap bekerja dalam pasukan dan bersedia memikul tanggungjawab,” katanya.
Yatimah berkata gerak kerja pengambilan yang lebih tersusun akan dirangka menerusi kerjasama jabatan dan pihak berkaitan di universiti bagi merealisasikan hasrat itu.
Dalam pada itu, kedua-dua pihak turut mengenal pasti potensi kerjasama dalam pendidikan dan latihan, termasuk peluang warga Rejimen 505 Askar Wataniah mengikuti program pengajian serta latihan kompetensi yang ditawarkan UMPSA.
Kepakaran rejimen itu juga berpotensi dimanfaatkan dalam kursus pembangunan kepimpinan warga UMPSA, khususnya melalui pendedahan kepada disiplin ketenteraan, kerja berpasukan, ketahanan diri dan pembentukan jati diri.
Perbincangan turut meliputi kemungkinan penggunaan kemudahan UMPSA bagi menyokong pelaksanaan program dan aktiviti Askar Wataniah, termasuk ruang latihan, bilik kuliah, kolam renang serta kemudahan pengangkutan universiti.
Sementara itu, Rejimen 505 Askar Wataniah memaklumkan pelaksanaan Kursus Asas Perajurit Muda Sukarela (APMS) Siri 2/2026 yang melibatkan pelajar program diploma UMPSA yang menganggotai pasukan berkenaan.
Kursus yang dijadualkan berlangsung dari 17 Ogos hingga 15 September 2026 itu menjadi antara platform bagi membentuk mahasiswa yang berdisiplin, mempunyai semangat kesukarelawanan serta jati diri yang tinggi.
Kunjungan berkenaan mencerminkan komitmen UMPSA dan Rejimen 505 Askar Wataniah untuk memperluas jaringan kerjasama strategik, khususnya dalam melahirkan warga universiti yang kompeten, berdaya kepimpinan, berdisiplin dan mempunyai semangat kesukarelawanan.
Photo credit: Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA)


Leave a Reply