Home / Utama / UKM komited perkasa kebolehpasaran graduan melalui kolaborasi akademia-industri

UKM komited perkasa kebolehpasaran graduan melalui kolaborasi akademia-industri

UALA LUMPUR– Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) terus memberi penekanan terhadap usaha memperkukuh kebolehpasaran graduan menerusi penguasaan kemahiran, pengalaman industri dan jaringan profesional selari dengan keperluan dunia pekerjaan semasa.

Perkara itu antara yang diketengahkan pada Persidangan Kebolehpasaran Graduan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) 2026 yang berlangsung di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTC KL) di sini hari ini.

Naib Canselor UKM Prof Datuk Dr Sufian Jusoh turut hadir pada persidangan yang dirasmikan Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Diraja Dr Zambry Abd Kadir itu.

Dalam ucapan perasmiannya, Zambry berkata agenda kebolehpasaran graduan diperkasa dengan memberi penekanan terhadap penguasaan kemahiran selari dengan keperluan industri, termasuk menerusi program peningkatan kemahiran (upskilling).

Pendekatan itu menjadi antara fokus utama Pelan Strategik Kebolehpasaran Graduan (PSKG) 2026-2030 yang turut dilancarkan pada majlis berkenaan.

Persidangan bertemakan ‘Kurikulum Tangkas, Graduan Masa Hadapan: Memperkukuh Kebolehpasaran Melalui Kolaborasi Akademia–Industri’ itu menghimpunkan pemimpin pendidikan tinggi, akademia, industri serta pemegang taruh bagi membincangkan pendekatan baharu dalam mempersiapkan graduan menghadapi dunia pekerjaan yang semakin dinamik.

Menurut UKM dalam kenyataan, universiti itu terus komited memastikan pendidikan yang ditawarkan bukan sahaja berteraskan ilmu dan kepakaran, malah diterjemahkan melalui kemahiran, pengalaman industri, jaringan profesional dan keupayaan graduan untuk menyumbang secara bermakna kepada masyarakat serta negara.

Usaha berkenaan turut mencerminkan kepentingan hubungan lebih erat antara institusi pendidikan tinggi dengan industri dalam memastikan graduan memiliki kompetensi yang relevan serta mampu menyesuaikan diri dengan perubahan landskap pekerjaan.

Turut hadir Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Jaringan Industri dan Masyarakat) UKM Prof Dr Bariah Md Ali; Pengarah Pusat Pembangunan Keusahawanan dan EKS UKM (UKM-CESMED) Prof Madya Dr Muhamad Azry Khoiry serta Dr Wardah Mustafa Din yang menjalankan fungsi Pengarah Pusat Pembangunan Karier (UKM-Karier).

Photo credit: Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM)

Editor Kampuskini.my avatar

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *