Home / Utama / PSIS perkasa ekosistem TVET menerusi TVET Collaboration Hub

PSIS perkasa ekosistem TVET menerusi TVET Collaboration Hub

KUALA LUMPUR– Politeknik Sultan Idris Shah (PSIS) memperkukuh komitmennya dalam memperkasa ekosistem Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) menerusi pelaksanaan TVET Collaboration Hub (TCH) yang menghimpunkan kementerian, agensi kerajaan, institusi TVET dan pihak industri.

Majlis Perasmian TCH bersama Kementerian, Industri dan Agensi TVET itu berlangsung di The Pearl Kuala Lumpur Hotel dan disempurnakan Pengarah Kanan (Akademik), Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti (JPPKK) Dr. Haji Mohd Daud Isa.

Dr. Mohd Daud berkata kerjasama strategik antara semua pihak berkepentingan penting bagi memastikan agenda TVET negara terus relevan, responsif dan berimpak tinggi selaras dengan keperluan industri serta perkembangan teknologi semasa.

TCH merupakan ekosistem kolaborasi strategik yang menghimpunkan institusi TVET, kementerian, agensi kerajaan dan pihak industri menerusi perkongsian kepakaran, teknologi, kurikulum, latihan, tenaga kerja, peralatan serta infrastruktur.

Pendekatan itu turut mengadaptasi konsep “Hub, Spoke, Enabler dan Benefactor” bagi memperkukuh pelaksanaan agenda pemerkasaan TVET negara.

Menerusi TCH, pihak industri berpeluang memainkan peranan lebih besar sebagai rakan strategik dalam membentuk hala tuju pendidikan TVET, khususnya dalam mengenal pasti kompetensi baharu, teknologi semasa, kemahiran masa hadapan serta keperluan sebenar tenaga kerja.

Sesi libat urus yang dilaksanakan menerusi platform berkenaan turut menjadi ruang kepada kementerian, agensi, institusi TVET dan industri untuk bertukar pandangan, berkongsi pengalaman serta mencadangkan pendekatan baharu yang boleh diterjemahkan kepada tindakan.

Antara aspek yang boleh diterokai menerusi kerjasama itu termasuk pembangunan kurikulum, kolaborasi penyelidikan, perkongsian teknologi serta pembangunan modal insan yang memenuhi keperluan industri.

PSIS berharap pelaksanaan TCH dapat menjadi pemangkin kepada pembentukan jaringan kolaborasi yang lebih kukuh, strategik dan mampan, sekali gus memperkasa ekosistem TVET negara dan memastikan pembangunan modal insan sentiasa seiring dengan keperluan industri serta cabaran masa hadapan.

Turut hadir Pengarah PSIS Puan Haslinda Abd Hamid dan Timbalan Pengarah, Bahagian Perancangan Program dan Institusi, JPPKK Ts. Dr. Mohd Syahrizad Elias.

Photo credit: FB Politeknik Sultan Idris Shah (PSIS)

Editor Kampuskini.my avatar

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *